Tindakan kerajaan amat tidak bertanggungjawab

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan terburu-buru kerajaan untuk melaksanakan pengambilan penjawat awam baharu secara kontrak tanpa perancangan teliti dan menyeluruh untuk keseluruhan sistem perkhidmatan awam, merupakan satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, boleh dilihat dengan jelas dan nyata betapa bercelaru dan berserabut proses penggubalan dasar kerajaan hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya, kerajaan membuat pengumuman demi pengumuman tanpa mempunyai satu kerangka besar pelaksanaannya.

Sebelum sebarang langkah diambil, katanya kerajaan patut mempunyai satu kerangka yang komprehensif dan pendekatan pelaksanaan yang jelas.

“Ini juga dapat memberi lebih keadilan kepada rakyat Malaysia semasa membuat pilihan, sama ada untuk berkhidmat sebagai penjawat awam atau sebaliknya dengan mengambil kira faedah semasa dan selepas perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pelaksanaan pengambilan penjawat awam baharu secara kontrak yang akan bermula esok ditangguhkan, sehingga kerangka besar pengambilan penjawat awam baharu bagi semua skim perkhidmatan dimuktamadkan sepenuhnya, dengan mengambil kira pandangan semua pemegang taruh.

“Sedarkah kerajaan, esok adalah 1 Februari 2024, tarikh bermula lantikan penjawat awam baharu dibuat secara kontrak?

“Namun, mana kerangka besar berkaitan pelantikan penjawat awam baharu? Terlalu banyak persoalan berkaitan perkara ini yang telah disentuh oleh pelbagai pihak. Namun tidak diendahkan,” katanya.

Pada 23 Januari lalu, media melaporkan mengenai satu pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) berkaitan pengambilan penjawat awam baharu secara kontrak berkuat kuasa mulai 1 Februari 2024.

Pekeliling yang tular di media ini bertarikh 15 Januari 2024 menyatakan bahawa tindakan kerajaan itu adalah langkah sementara sebelum satu kaedah baharu lantikan tetap penjawat awam diperkenalkan.

Keputusan itu dibuat di dalam mesyuarat Kabinet pada 12 Julai tahun lalu dan apabila perkara ini mula dibincangkan secara meluas, kerajaan mengeluarkan satu siaran media bertarikh 24 Januari lalu, menyatakan bahawa penjawat awam baharu yang dilantik secara kontrak mulai 1 Februari 2024 akan dilantik secara tetap apabila kaedah baharu pelantikan dimuktamadkan kelak.

Namun, pada hari yang sama, 24 Januari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa Kabinet bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen, dengan tarikh pelaksanaan akan diumumkan oleh KPPA.

Apabila menyentuh tentang pencen penjawat awam, dengan rakyat mula mempersoal dan membincangkan isu tentang pencen bagi wakil rakyat dan lantikan politik, maka pada 26 Januari lalu, Perdana Menteri menyatakan bahawa pencen wakil rakyat dan lantikan politik baharu juga akan ditiadakan.

Pada hari yang sama, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengulas perkara tersebut dan meminta supaya semua pihak tidak terburu-buru mengeluarkan kenyataan berhubung cadangan pemansuhan skim pencen bagi penjawat awam baharu. – HARAKAHDAILY 31/1/2024

- Advertisement -