Laman Facebook rasmi PAS Pusat pula dikenakan sekatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Laman Facebook rasmi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat menjadi saluran terkini milik parti ini yang telah dikenakan beberapa sekatan termasuk untuk memuatnaik gambar dan video bagi satu tempoh yang agak lama.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan dan Media Baharu (JPMB) PAS Pusat, Zurk Ahmad berkata, justeru bagi meneruskan perjuangan di wadah media sosial ini, pasukannya akan beralih ke laman TV PAS sebagai pelan alternatif terhadap sekatan tersebut.

“Mohon semua ambil cakna dan tekan butang follow (favorites) di page TV PAS,” maklum beliau dalam satu kenyataan yang diumumkan secara teks di laman rasmi tersebut.

Terdahulu sebelum ini, laman media rasmi PAS iaitu HarakahDaily dilaporkan tidak dapat diakses sejak 19 Januari lalu kerana telah disekat oleh pihak tertentu dan turut beralih ke laman HarakahTV.

Bahkan turut mengalami nasib sama adalah laman Facebook rasmi beberapa entiti PAS yang lain, manakala milik Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu diceroboh dan bertukar milik, selain dimuatnaik kandungan jelik.

Media pada Disember lalu ada melaporkan pengakuan syarikat induk Facebook, Meta dan TikTok dari China mengenai peningkatan permintaan Kerajaan Malaysia untuk mengalih keluar kandungan atau menyekat akaun di platform berkenaan bagi tempoh enam bulan pertama 2023.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari susulan laporan itu menyifatkan ia adalah satu perkara yang sangat memalukan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

- Advertisement -

Kerana katanya, selama ini pemimpin tersebut sering mendabik dada bahawa pemerintahannya ialah pentadbiran reformasi, bahkan kalimah tersebut yang dijerit-jerit dan dilaung setiap kali perjumpaan parti-parti komponen Pakatan Harapan. 

“Hakikatnya ia hanyalah merupakan retorik untuk menyedapkan halwa telinga. Barangkali tidak lebih seperti buah gajus yang sedap dikunyah dan dimakan, tetapi sekali-kali tidak mengenyangkan,” tempelaknya.

Meta sebelum ini mengeluarkan laporan bahawa antara Januari dan Jun tahun lalu, kira-kira 3,100 halaman dan siaran di platform Facebook dan Instagram syarikat itu telah dihadkan daripada dilihat oleh pengguna di Malaysia.

Angka itu enam kali lebih tinggi berbanding tempoh setengah tahun sebelumnya dan tertinggi sejak syarikat itu mula melaporkan sekatan kandungan di Malaysia pada 2017, di mana ia didakwa melanggar undang-undang tempatan. 

Menurut Meta lagi, antara Julai 2022 dan Jun 2023, pihaknya mengehadkan akses kepada lebih 3,500 kandungan sebagai tindak balas kepada laporan yang dibuat oleh pengawal selia komunikasi Malaysia dan agensi kerajaan lain.

Manakala TikTok pula dalam laporan sama yang dikeluarkan bulan November 2023, turut memaklumkan ia menerima 340 permintaan daripada Kerajaan Malaysia untuk mengeluarkan atau menyekat kandungan antara Januari dan Jun 2023.

“Ertinya, kerajaan ini merupakan kerajaan yang paling takut kepada Facebook dan Tiktok berbanding dengan kerajaan era Datuk Sri Najib, Tun Mahathir, Tan Sri Muhyidin dan Datuk Sri Ismail Sabri. 

“Kandungan yang disekat pula ialah kebanyakannya dikatakan mengkritik kerajaan dan bukannya berhubung isu-isu keselamatan awam dan melibatkan kepentingan bersama masyarakat. 

“Alasan bahawa kandungan-kandungan tersebut disekat kononnya untuk mengawal fitnah juga langsung tidak boleh diterima. Sepatutnya mana-mana penyebar fitnah itu jika benar didapati melakukan kesalahan, siasatan dan pendakwaan boleh dibuat menurut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Saya syorkan kepada kerajaan pentadbiran PMX ini, kafan dan talkinkan sahaja kalimah reformasi yang dilaungkan itu. Usahlah dilaungkan lagi, akui sahajalah bahawa pentadbiran ini perlahan-lahan sedang bergerak kepada era cengkaman maklumat dan media. 

“Lebih tepat lagi ialah era kuku besi!” bidas beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dan bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat itu. – HARAKAHDAILY 30/1/2024

- Advertisement -