‘Suspek sedang ditahan reman selama tujuh hari’

- Advertisement -

PASIR MAS: Seorang Inspektor polis yang direman tujuh hari akan dikenakan tindakan tatatertib sekiranya didapati bersalah dalam kes merogol saksi yang datang membantu memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini kelmarin.

- Advertisement -

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhamad Zaki Harun berkata, satu tindakan teliti akan diambil terutama membabitkan anggota polis yang terlibat dengan kesalahan yang dilakukan.

Malah katanya, satu tindakan adil juga akan dikenakan sekiranya suspek didapati bersalah walaupun ia melibatkan anggota polis sendiri.

“Sekarang suspek sedang ditahan reman selama tujuh hari dan siasatan juga telah dibuat malah kesemua sampel bukti fizikal sudah dihantar ke unit forensik serta barangan terlibat di tempat kejadian telah diambil untuk tindakan siasatan.

“Menurut laporan, mangsa yang berusia 23 tahun itu dipanggil pegawai berkenaan bagi membantu kes pemerasan bahan lucah membabitkan rakannya dan kemudian didakwa dirogol ketika proses siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media yang diadakan selepas selesai majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontijen Kelantan di Dewan Ketua Polis Negara Ibu Pejabat Daerah Pasir Mas, di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, perintah reman telah dijalankan bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membolehkan pegawai polis terbabit yang juga pegawai penyiasat berusia 38 tahun disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Semasa prosiding reman berlangsung, peguam yang mewakili pegawai polis itu, Mohd Firdaus Zainal Abidin membantah permohonan tahanan reman terhadap anak guamnya.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan pegawai polis itu direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut. – HARAKAHDAILY 30/1/2024

- Advertisement -