Jangan buat tuduhan melulu isu pembalakan di Ulu Muda

- Advertisement -

ALOR SETAR: Dakwaan sebuah kumpulan NGO bahawa terdapat aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda sehingga mengakibatkan masalah mendapan kepada sumber air Tasik Muda sangat tidak berasas dan bersifat ‘separuh masak’. 

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, pihaknya mempertahankan kenyataan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa tiada pembalakan di situ meskipun terpaksa menanggung kehilangan hasil pendapatan negeri yang tinggi. 

“Pertama, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) yang merupakan agensi Persekutuan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sendiri mengesahkan kenyataan Menteri Besar Kedah bahawa tidak berbangkit soal aktiviti pembalakan di kawasan hutan simpan berkenaan. 

“Kedua, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah menjelaskan bahawa kadar taburan hujan yang tinggi serta aliran puing daripada sungai berdekatan yang membawa bersama tanah dan serpihan kayu ke Empangan Tasik Muda. Ia tidak berpunca daripada aktiviti pembalakan sebagaimana yang didakwa. 

“Ketiga, sejak PAS-Perikatan Nasional (PN) mengambil alih Kerajaan Negeri pada Mei 2020 dan pasca PRU Negeri ke-15, tiada pembalakan baharu diluluskan. Kelulusan pembalakan adalah daripada kerajaan terdahulu yang berjumlah lebih 75,000 hektar di seluruh negeri. 

- Advertisement -

“Tambahan lagi, Kerajaan Negeri Kedah ketika ini turut mematuhi peraturan Catuan Tebatan Tahunan (CTT) Negeri Kedah yang hanya berjumlah 4,200 hektar sahaja berdasarkan kelulusan terdahulu tadi.

“Keempat, kawasan pembalakan yang dibenarkan hanyalah di kawasan Hutan Pengeluaran, bukan kawasan Hutan Perlindungan seperti di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda,” jelas beliau.

Oleh demikian kata yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, seharusnya kumpulan NGO berkenaan tidak secara bermudah-mudah untuk mengeluarkan dakwaan sedemikian rupa terhadap Kerajaan Negeri Kedah. 

Pinta beliau, badan bukan kerajaan itu juga seharusnya sedar bahawa sejak Julai 2022, Akta Perhutanan telah dipinda bagi memastikan pengawalseliaan yang lebih ketat terhadap aktiviti pembalakan. 

Menurutnya, pindaan tersebut merangkumi langkah mengetatkan proses pewartaan hutan dan penggantian serentak Hutan Simpan Kekal (HSK) selain memperkukuhkan aspek penguatkuasaan dan pemantauan hutan. 

“Justeru, PAS Kedah menasihati semua pihak supaya berhati-hati mengeluarkan kenyataan serta merujuk pihak yang berautoriti dalam mengeluarkan sebarang dakwaan yang boleh merosakkan reputasi serta nama baik Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi. 

“PAS Kedah berkeyakinan Kerajaan Negeri Kedah telah mematuhi segala peraturan sedia ada dan memelihara kepentingan hutan di negeri ini secara teliti dan bertanggungjawab,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 30/1/2024

- Advertisement -