Pendakwaan terpilih? Siapa pula selepas Tun Daim?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang telah didakwa di mahkamah atas kesalahan tidak mengisytiharkan aset sejak 30 tahun lepas, bukanlah didakwa atas kesalahan rasuah atau salahguna kuasa. 

Profesional Istiqamah dalam satu kenyataan menjelaskan, perlu difahami semua bahawa kesalahan dilakukan Tun Daim adalah gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta.

“Beliau telah didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

“Sebagai rakyat yang cintakan kemakmuran negara. Kita tidak boleh berkompromi dengan segala rasuah dan ketirisan. Tanpa mengira warna politik dan fahamkan sekalipun.

“Sayangnya sejak pentadbiran Pakatan Harapan 1.0 dan 2.0 kali ini, agenda membasmi rasuah seolah-olah tidak lagi diperjuangkan secara tulen tetapi lebih menjadi alat politik untuk memburu musuh-musuh politik,” ujar mereka.

Kenyataan itu menegaskan, pendakwaan terpilih yang berlaku dalam era pentadbiran PMX begitu jelas berlaku di hadapan mata walaupun rakyat tiada masalah hendak mendakwa mana-mana pihak jika bukti dan siasatan mencukupi. 

“Namun kenapa di sana terdapatnya sikap pilih bulu dalam mendakwa atau meneruskan pendakwaan. Sudah tentu ia bukanlah sesuatu yang mudah hendak menyatakan bahawa pendakwaan terpilih sedang berjalan. 

- Advertisement -

“Namun salahkah kita mempersoalkan dan bertanya memandangkan peristiwa yang amat jelas sedang berlaku,” kemuka kenyataan tersebut menuntut penjelasan konkrit.

Kata mereka, hal ini juga ditambah oleh perjalanan dalam setiap kes berkaitan apabila terpamer jelas motif merosakkan imej politik, pembunuhan karakter serta elemen tergesa-gesa dalam pendakwaan.

Mereka menyenaraikan antara kes-kes yang dapat disaksikan seperti dakwaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan Jana Wibawa di mana akhirnya empat kes digugurkan tanpa sempat dimulakan pendakwaan kerana pendakwaan bersifat cacat.

Juga dinyatakan, kes Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dipanggil untuk dakwaan atas akta hasutan bermula dengan peristiwa penahanan beliau pada jam 3 pagi.

Profesional Istiqamah berhujah, itu menggambarkan satu usaha pembunuhan karakter yang tersusun di mana jarak antara siasatan kes dan pendakwaan juga berjalan dalam waktu yang singkat, berbeza dengan kes-kes lain.

“Dalam masa terdapat pula kes-kes pihak yang bersama sisi kerajaan dilepaskan. Apa lagi kalau bukan kes Timbalan Perdana Menteri yang didakwa dengan 47 kes rasuah dan salahguna kuasa dan telah dibuktikan ‘prima facie’.

“Tambahan pula kes tersebut tidak diteruskan atas sebab pihak pendakwaan iaitu Peguam Negara mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan. DNAA pula telah dimohon dan diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri itu.

“Maka, politikus kerajaan tidak boleh menyalahkan rakyat andai ramai yang berpendapat Tun Daim hanyalah mangsa seterusnya dalam pendakwaan terpilih ini,” ujar kenyataan itu.

Mereka turut menegaskan, sama ada salah atau benar Tun Daim, biarlah mahkamah yang menentukan dan jika salah maka rakyat tidak meredai segala kesalahan beliau, namun jika beliau di pihak yang benar, maka itupun satu realiti yang wajar diterima.

“Cuma yang tetap perlu kita teruskan perjuang dan persoalkan, mengapa kes-kes pihak yang bersama kerajaan tidak diteruskan?” soal Profesional Istiqamah. – HARAKAHDAILY 30/1/2024

- Advertisement -