Kedah kongsi pengalaman Kelantan laksana pendidikan Islam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkongsi pengalaman Kelantan sejak 30 tahun memerintah.

- Advertisement -

Beliau berkata, Kelantan mempunyai produknya sendiri khususnya pembangunan sistem pendidikan agama Islam termasuk pelaksanaan dasar pendidikan Rabbani dalam sistem pendidikan negeri.

Menurutnya, sejak tahun 1990 Kelantan juga berjaya merangka silibus atau kokurikulum berkaitan pendidikan di sekolah tahfiz dan sains yang turut diterima pakai di Kedah.

“Kunjung hormat ini kita ceritakan pengalaman kita selama 30 tahun dalam sektor pendidikan, jadi macam mana nak urus semua sekali, jadi kita cakap pendidikan satu benda sangat penting.

“Kerana apa yang istimewa yang kita boleh didik asuh, didikan rakyat Kelantan, jadi kita kerajaan negeri mahu melahirkan rakyat yang cerdik dan baik akhlaknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan hormat Exco Kerajaan Negeri Kedah iaitu Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Mohamad Yusoff Zakaria dan Exco Industri, Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi & Inovasi, Dr Haim Hilman Abdullah di Mabna Membangun Bersama Islam (MBI) di sini petang tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kubor itu menjelaskan kunjungan tersebut bagi mengeratkan lagi hubungan dua kerajaan negeri itu di bawah gagasan kerajaan negeri empat (SG4).

Ketika Kedah di bawah pentadbiran mantan Menteri Besar, Almarhum Azizan Abdul Razak, beliau merupakan antara individu yang membawa silibus tahfiz dan sains untuk dilaksanakan di negeri itu.

Beliau yang merupakan pegawai kerajaan negeri ketika itu berkata, Almarhun Ustaz Azizan sendiri meminta supaya sistem pendidikan di Kedah melaksanakan sistem pendidikan dirangka khusus di Kelantan.

“Kita sangat sebab sebelum ini pun saya sudah pergi sebelum ini, dia menggunakan sukatan kita dalam bidang tahfiz sains zaman arwah Ustaz Azizan, saya sebagai pegawai pada ketika itu.

“Kita berikan taklimat dan penjelasan kepada dia dan dia nak supaya Kedah ini dapat menggunakan sukatan yang sama dalam tahfiz dan sains ini yang kita buat di negeri ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/1/2024

- Advertisement -