Penyesalan yang tidak sudah

- Advertisement -

DALAM ayat ke-12, Allah menceritakan kepada kita mengenai keadaan di akhirat [1]:

- Advertisement -

وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ

Pada hari akhirat, ‘Al-Mujrimun’ merujuk kepada orang yang bersalah atau mengikut bahasa undang-undangnya disebut sebagai penjenayah atau bahasa agamanya ialah berdosa sama ada dia seorang kafir atau beriman. Orang beriman pun berkemungkinan buat salah juga di atas dunia. Dia Islam, mengucap dua kalimah syahadah, tetapi solat entah ke mana, puasa entah ke mana, minum arak atau berjudi. 

Allah memberikan gambaran di akhirat bahawa mereka akan tunduk. Sama seperti kita tunduk depan ayah kalau buat salah dan tidak angkat muka. Pada ketika itulah timbul  penyesalan, Allah memberi pendengaran dan penglihatan, jadi kalau boleh mereka nak kembali semula ke dunia nak perbaiki. Mereka menyesal, tunduk dan minta dengan-Nya untuk kembali semula ke dunia. Macam mana nak kembali? Dunia sudah tiada. Ketika itu sudah alam lain. Yang ada adalah alam akhirat di Padang Mahsyar. 

Pada masa itulah orang yang berbuat salah akan menyesal kerana tidak sempat nak bertaubat dan meminta kepada-Nya. Hari itu barulah berasa yakin dan takut dengan azab-Nya, dosa, pahala, syurga dan neraka. Jadi, mereka nak kembali semula ke dunia nak beramal, buat baik, solat, puasa dan sedekah. Tetapi, sudah tidak menjadi apa-apa bak kata orang, “Nasi sudah menjadi bubur.” Allah memberi gambaran ini supaya kita semua berasa takut dengan masa depan dan beringat. 

Perbetul niat ke masjid

Tiada makna kita membaca surah ini pada tiap-tiap pagi Jumaat kalau kita tidak merasai apa-apa. Ada orang yang pergi ke masjid sebab nak sujud sajadah. Kadang-kadang, dia membebel kalau Imam tidak melaksanakan sujud sajadah tetapi perangainya tetap sama. 

Hari itu sahaja ‘jurus’. Berpagian lagi pergi ke masjid sebab kebetulan ada jamuan nasi dan gulai kawah selepas solat Subuh. Ini satu hal juga. Orang yang pergi ke masjid kena perbetul niat. Kalau mengajar anak-anak dan isteri supaya pergi masjid boleh nasi ‘free’, selamat RM50 pagi itu, tidak bolehlah apa-apa kecuali nasi. Kena beringatlah. Jangan buat ibadah disebabkan oleh kebendaan seperti jamuan dan wang Ringgit. Jadi, kita ini umpama kanak-kanak. 

Pergi solat Terawih kerana ada cendol atau mee rebus. Kita sebagai orang tua jangan jadi seperti itu. Ohh.. rajin kejutkan isteri dan anak-anak penuh satu kereta ke masjid pasal apa.. pasal nasi gulai kawah. Kita sama-sama pakat perbetulkan sebab kalau tidak, rugi. Solat kita tiada pahala dan bangun pagi kita pun tiada pahala. Nasi itu pun boleh dapat, itu pun kalau ada lebihan. 

Pilihan ada di tangan kita

Allah berkata, kalau boleh Dia nak semua jadi ‘jurus’ belaka [2]:

وَلَوْ شِئْنَا لَآتَيْنَا كُلَّ نَفْسٍ هُدَاهَا وَلَٰكِنْ حَقَّ الْقَوْلُ مِنِّي لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ 

Kalau boleh Dia nak semua orang jadi beriman belaka. Tetapi, memang ketentuan-Nya bukan semua orang beriman. Sebab Allah memberi kebebasan kepada manusia. Dia boleh menjadikan manusia celik-celik beriman belaka. Mengundi pun bulan belaka. Dia boleh buat. Tetapi, Dia nak kita ada kebebasan, iradat, ikhtiar dan usaha atau Al-Kasbu

Usahalah yang menentukan sama ada dia seorang yang baik atau tidak, syurga atau neraka. Inilah yang membezakan pandangan kita dengan Jabariyah dan Qadariyah. Mengikut ahli Sunnah, manusia ada Al-Kasbu atau usaha. Usaha ini datang daripada fikiran kita. Kita tengok benda ini tidak bagus, kita tinggalkannya. Kita tengok benda ini bagus, kita buat. 

Kita ada pilihan. Jadi, kalau kita masuk neraka pun, itu adalah kerana pilihan kita bukan Allah. Salah kita di atas dunia memilih yang tidak betul, maka masuk neraka. Tidak boleh ‘complaint’ kepada-Nya. Allah dah berikan kita akal, fikiran dan usaha, mengapa kita pilih jalan yang membawa kita kepada neraka? 

Syurga ada jalannya, neraka ada jalannya: 

[3] فَأَمَّا مَنْ أَعْطَى وَاتَّقَى (٥) وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَى (٦) فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْيُسْرَى (٧)

Ia adalah jalan masuk ke syurga. 1,2,3 langkah kemudian ke syurga:

[4] وَأَمَّا مَنْ بَخِلَ وَاسْتَغْنَى (٨) وَكَذَّبَ بِالْحُسْنَى (٩) فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْعُسْرَى (١٠)

Tetapi, bakhil, sombong dan menolak kebenaran agama, Allah memberikan jalan yang susah iaitu neraka. Semua jalan sudah ada:

[5] وَهَدَيْنَاهُ النَّجْدَيْنِ (10)

Yang bermaksud “Kami tunjukkan kepada manusia dua laluan.” Dalam surah al-Insan juga disebutkan: 

[6] إِنَّا هَدَيْنَاهُ السَّبِيلَ إِمَّا شَاكِرًا وَإِمَّا كَفُورًا (3)

Jadi, kalau kita masuk ke dalam neraka, kita tidak boleh kata, “Ni kerana Tuhan la buat aku sampai masuk.” Tidak. 

Allah sudah memberi akal di mana ia adalah asas utama. Oleh sebab itu, orang yang tidak berakal atau gila atau nyanyuk contohnya, diangkat kalam, maknanya tidak dikenakan apa-apa ke atasnya. Contohnya, dia menjadi gila lalu membunuh, merampas harta benda orang lain, maka tiada apa-apa. Orang yang gila tidak dibuat kira, kalau dia tidak solat pun tidak mengapa. Ada orang yang menggunakan istilah gila di mahkamah untuk berlepas diri. Apabila dia dituduh di mahkamah dengan kesalahan, dia kata dia gila atau tidak siuman pada masa itu. 

Qada’ dan qadar tidak memaksa kita. Walaupun Allah mengetahui kesudahan kita, tetapi ilmu-Nya tidak mengikat kita. Contohnya, cikgu yang mengajar di dalam kelas, tengok perangai pelajar yang rajin hadir ke sekolah, bertanya soalan, membaca dan membuat latihan di rumah, kita akan fikir yang dia pasti akan mendapat A. Itu ilmu kita, tetapi tidak semestinya. Berkemungkinan dia jatuh sakit atau demam pada hari peperiksaan. 

Sebaliknya, jika pelajar itu malas hadir ke sekolah, tidak mendengar kata dan tidur di dalam kelas, dalam kepala cikgu mesti pelajar itu akan gagal. Ilmu kita berdasarkan pemerhatian kita, tetapi belum tentu dia benar-benar gagal. Seandainya dua atau tiga minggu sebelum hari peperiksaan, dia bersungguh-sungguh membaca dan mengulang kaji, berkemungkinan dia akan mendapat A. 

Itu perbandingan yang mudah walaupun tidak sama dengan-Nya, tetapi nak suruh kita faham. Ilmu Allah tidak mengikat kita. Bukannya apabila Dia mengetahui bahawa kita akan masuk neraka, maka kita tidak akan buat kerja. Tidak. Dia mengetahuinya dengan perangai kita. Contohnya tidak solat atau puasa, macam mana nak masuk syurga? 

Jadi, ikhtiar kita, kita kena berusaha. Firman Allah: [7]

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ ۗ

“Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu mengubah nasibnya.” 

Mengubah sikapnya, barulah berubah nasibnya, barulah berubah masa depannya. Kalau dia malas, dia tidak mengubah sikapnya, sampai bila-bila dia tidak akan berjaya. 

Contohnya, orang yang malas belajar, macam mana nak lulus dalam peperiksaan? Macam mana nak berjaya? Buka kedai, asyik duk main ‘handphone’, orang masuk tidak ditanya nak apa, kalau orang tanya pun, disuruhnya lihat sendiri, macam mana berniaga begitu? Jadi, perangai atau sifat dalaman kita perlu diubah, barulah kita boleh menjadi hebat. 

Bangsa Melayu bangsa hebat

Sifat dalaman kita sudah ada dalam diri cuma kita tidak menggunakannya. Kita terpengaruh dengan ‘Melayu malas’. Sebenarnya bangsa Melayu ialah bangsa yang hebat. Kalau kita membaca dalam sejarah, orang Melayu sudah meneroka dunia. Pelaut yang hebat ialah orang Melayu. Pada zaman Melaka yang dijajah dahulu, meriam, bedil, jong iaitu kapal yang lebih besar daripada kapal Portugis sudah digunakan. Hebat tak hebat orang Melayu pada masa itu. Orang Makasar ialah bangsa Melayu belaka, walaupun Bugis, tetapi Nusantara ialah Melayu yang dipanggil sebagai ‘Malay archipelago’. Hakikatnya, mereka ialah bangsa Melayu kerana berada di Kepulauan Melayu. 

Mereka kalah bukan disebabkan oleh tiada peralatan tetapi masalah dalaman. Walau canggih setara mana pun kapal terbang atau kapal perang, kalau ‘pilot’ seorang penakut, macam mana nak menang? Kita membawa bedil yang hebat, tetapi kita pula penakut. Tiada guna sebab senjata ini mempunyai jarak berkesan. Pistol ada jaraknya, berapa meter berkesan, begitu juga dengan bedil. Kalau nak musuh kita mati, tembaklah dalam jarak tersebut. Kalau lima kaki, duduklah dalam jarak itu baru bedil. Ini tidak, dalam jarak sepuluh kaki sudah bedil, macam mana musuh kita nak mati? Senjata canggih, kita pula penakut. Jadi, bergantung pada kita. 

Senjata canggih, tetapi penakut

Iran dahulu berperang dengan Iraq. Iraq memiliki senjata yang serba canggih. Tambahan pula, Amerika memberikan senjata kepada mereka antaranya kapal terbang pengebom. Tetapi, apabila kapal terbang dihantar untuk berperang, selalu tidak kena tepat pada sasaran. 

Jadi, mereka mengkaji, mengapa kapal terbang yang canggih sebegitu dengan ketepatan dan kehebatan ‘sophisticated’ kecanggihannya, namun tidak mencapai maksud iaitu tidak dapat mengebom Iran dengan berkesan. Ternyata setelah dikaji, ‘pilot-pilot’ Iraq penakut, takut dibedil dari bawah. Mereka sudah membedil dari jauh. Sedangkan kapal terbang itu sudah mempunyai jarak berkesan atau ‘effective range’. Jadi, puncanya kekalahan itu bukan kerana senjata tetapi manusia. 

Islam ini hebat, agama pilihan Allah, tetapi mengapa orang Islam lemah, duduk di belakang, tidak boleh menguasai dunia? Kerana kelemahan kita orang Islam bukan kerana agama kita. Agama Islam inilah yang Nabi dan Sahabat bawa sejak awal sehingga boleh membuka dunia dan mengalahkan Rom dan Parsi. Sayyidina Umar mengalahkan dua kuasa besar dunia iaitu Rom dan Parsi atau kini Amerika dan Rusia. Teknologi perang mereka lebih hebat tetapi akhirnya kalah. 

Jangan jadi reba (halangan) atas jalan

Selepas itu, dalam sejarah Islam berkembang sehingga ke Afrika Utara, disebut sebagai As-Sahro’ yang meliputi Maghribi, Algeria dan Tunisia kini. Dari Utara Afrika boleh sampai ke Tanjung Harapan, Afrika Selatan. Di sebelah Timur ke negara China, India, di Eropah sehingga ke sempadan Perancis, menguasai Andalus, Sepanyol selama lapan ratus tahun. Turki Uthmaniyah menakluk selama beratus tahun sehingga jatuh pada tahun 1924. 

Ini semua berlaku kerana membawa Islam. Mereka menjadi hebat kerana jiwa mereka, ada kekuatan dalaman, mengamalkan agama. Kita… pegang Islam, pegang saja. Perjuangan Islam kita tidak sokong. Usaha mendaulatkan Islam kita tidak ada. Kita Islam tetapi tidak berbuat apa-apa. Kalau kata bukan-Islam, marah pula. Usaha nak membela Islam tiada, jiwa Islam tiada. 

Yang menjadi hakim pun tidak membela agama kita, kononnya alasan nak menurut undang-undang. Undang-undang ini dalam istilahnya kita boleh ‘bend the law’ bukan melawannya. Umpama kita ini gemuk nak masuk ke tempat yang sempit, kita kempiskan perut, tahan nafas, lalu sisip masuk. Kalau masuk dengan perut buncit memang tidak lepas. Jadi, sepatutnya apabila kita ada kuasa, kita menggunakannya untuk membela dan menyelamatkan agama bukan menurut secara membuta tuli. 

Usahalah setakat yang kita boleh untuk mengamalkan Islam. Sebab tiada yang boleh buat 100 peratus. Tetapi yang mana boleh buat, buatlah. Kaedah feqah kata:

ما لا يدرك كله لا يترك جله

 “Tidak mampu buat semua, jangan tinggal semua.” 

Buat setakat yang boleh tetapi kena ada jiwa, semangat, keberanian dan keyakinan, barulah boleh bergerak ke hadapan. 

Orang Islam lebih ramai daripada orang bukan-Islam di Timur Tengah. Tetapi apa yang berlaku di Palestin hari ini, berpuluh ribu terkorban termasuk budak-budak dan hospital dibom dan sebagainya. Setakat itulah yang kita mampu melalui bercakap sahaja, nak buat lebih daripada itu tidak boleh. Inilah kelemahan ummah sebab kita tidak berpegang dengan agama. Macam yang disebutkan di atas, senjata canggih ada tetapi penakut. Ibarat orang yang nak cari gaduh, di tangannya sudah ada golok, tetapi apabila lawannya masuk dekat, dia menghempas goloknya ke tanah kemudian lari. 

Jadi, kita sama-sama perbaiki diri macam mana nak menjadi orang Islam yang hebat boleh mengubah dunia supaya berada di atas jalan Islam. Kalau kita tidak boleh buat sekalipun, jangan kita menghalang orang yang nak buat. Masalah hari ini adalah dia tidak buat, dia nak menyekat pula orang yang nak buat. Misalnya, dia tidak solat, orang lain nak solat, dia pergi kunci masjid. Kalau kamu tidak solat, ikutlah tetapi jangan kunci masjid sehingga orang lain nak solat pun tidak boleh. 

Masalah lainnya, dia tidak buat, sokong perjuangan Islam dan menjadi reba atas jalan. Mengata macam-macam, memperlekeh, mempersenda. Dia sendiri tiada usaha. Kalau tidak mahu menyokong, tidak mengapa lagilah tetapi jangan pula mengacau. Ini tidak, orang lain berlari, kita menghulur betis supaya dia rebah. Ramai antara kita yang berperangai sebegitu, oleh sebab itu Islam tidak boleh ke mana-mana. 

Yang menjadi reba atas jalan ini banyak, dalam istilah kasarnya ialah munafik. Sebab hanya kerja orang munafik yang menyekat Islam selain orang kafir. Orang kafir sememangnya tidak suka dengan Islam dan mereka ialah musuh kita. Tetapi, apabila orang Islam sendiri yang bermasalah dan menjadi penghalang pada zaman Nabi, mereka ialah munafik. Orang munafik menjadi duri dalam daging, api dalam sekam, yang mengkhianati Nabi, memecahkan rahsia dan sebagainya. Kepalanya ialah Abdullah bin Ubai. 

Kalau hari ini kita sebut munafik, orang marah. Bukan nak kata kepada sesiapa, tetapi begitulah sifatnya. Buat jahat dan menyekat Islam, kalau tidak munafik apa dia? Tidak mahu buat, tidak mengapa, tetapi jangan buat jahat, menghalang, mencari jalan nak merosakkan dan komen macam-macam yang tidak munasabah. Ibarat orang menonton perlawanan bola, dia tidak pandai bermain bola, tetapi dia yang paling kuat sekali ‘complaint’. Jadi, kita jangan jadi penonton bola yang komen belaka serba tidak kena. Kita ini pula kaki bangku, sepak bola pun tidak kena. Ramai hari ini yang menjadi penonton bola. 

Yang lebih berat lagi menjadi seperti ‘referee’. Ada orang hari ini mengambil kerjanya. Dia tidak bermain bola, berlari ke sana sini, mencari salah pemain. Kita yang tengok pun lelah. Dia kena tengok ‘offside’ dan nak meniup wisel lagi. Dia tidak mendapat apa-apa, bola tiada padanya, piala pun tidak diperolehinya, gambarnya pun tidak diambil, kadang-kadang tidak dikenali. Padahal dia lebih lelah daripada orang lain, tetapi lelahnya untuk mencari salah orang. 

Bukan nak salahkan ‘referee’, itu memang kerjanya, tetapi kita janganlah mengambil perangai itu dalam hidup. Perangai yang dimaksudkan adalah duk mencari kesalahan orang. Semua orang buat tidak betul, kerajaan buat tidak betul, exco buat tidak betul, kita apa yang betul? 

Tunduk fizikal sekali dengan hati

Sama-samalah kita pakat perbaiki. Ini peringatan bersama. Oleh sebab itu, wajib untuk kita solat lima waktu. Bacaan wajib dalam solat mengikut Imam Syafie ialah surah al-Fatihah. Kata ulamak, inti surah ini adalah ayat  ke-6: 

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ

Kita dituntut untuk membacanya dalam setiap rakaat sebanyak 17 kali dalam solat fardhu. Orang tidak minta duit, subsidi dalam solat, kita minta jalan yang lurus. Sebab jalan yang lurus ini akan membantu kita untuk mencapai matlamat dengan mudah dan cepat. Jalan yang lurus merujuk kepada apa yang Nabi beritahu iaitu al-Quran dan Sunnah. 

Orang kafir di akhirat akan dikenakan azab yang kekal sampai bila-bila. Orang yang beriman antara sifatnya apabila disebut ayat al-Quran, terus sujud. Sujud merupakan simbol kepada ketundukan kita kepada ayat-Nya iaitu al-Quran. Tidak mencukupi hanya dengan sujud Sajadah pada pagi Jumaat, setelah itu kita melawan al-Quran. Fizikal tunduk tetapi yang lebih penting ialah hati kita iaitu apa yang Allah suruh buat kita buat, apa yang Allah larang, kita tinggal. 

Iblis lebih berat lagi, hati tidak sujud dan tubuh pun tidak sujud. Sewaktu diarahkan oleh Allah untuk sujud kepada Nabi Adam di langit, ia tidak sujud sampai ke sudah sehingga dihalau keluar. Kita ni sujud tubuh tetapi hati tidak, lagi bermasalah. Ia disebut sebagai sujud nifak. 

Orang yang solatnya duk diam, senyap, tidak bergerak, tidak bergaru, tetapi fikirannya merata ke tempat banjir la, masuk Mydin la. Khusyuknya disebut oleh Sayyidina Umar Al-Khattab sebagai khusyuk munafik. Ertinya tubuhnya nampak khusyuk, tetapi hatinya tidak khusyuk atau lagha. 

Kuliah Pagi Jumaat disampaikan Yang Dipertua Dewan Negeri Kelantan, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Haji Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Jumaat, 19 Januari 2024 di Medan Ilmu, Kota Bharu, Kelantan.HARAKAHDAILY 24/1/2024

Rujukan: 

[1] Surah As-Sajdah, ayat ke-12.
[2] Surah As-Sajdah, ayat ke-13.
[3] Surah Al-Shams, ayat ke-5 sehingga 7.
[4] Surah Al-Shams, ayat ke-8 sehingga 10.
[5] Surah Al-Balad, ayat ke-10.
[6] Surah Al-Insan, ayat ke-3.
[7] Surah Al-Ra’d, ayat ke-11.

- Advertisement -