KOTA BHARU: Semua hotel yang ada di Kelantan sewajarnya menjadi jadi duta kecil pada kerajaan negeri apa lagi untuk menjayakan Tahun Melawat Kelantan 20124 (TMK2024).
Setiausaha Kehormat Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kelantan, Mohammad Azrin Zainal Abidin berkata, kerana itu pengusaha atau pengurus hotel di negeri itu sentiasa bersedia untuk mengetahui tempat-tempat menarik untuk dikunjungi pelancong.
Menurutnya, Kelantan mempunyai pelbagai tempat menarik untuk dikunjungi sama ada yang baru atau sedia ada seperti Pasar Siti Khadijah, Wakaf Che Yeh atau di beberapa lokasi baharu seperti Laman Warisan Kampung Laut, Masjid Kampung Laut atau tempat-tempat yang bersejarah.
“Apabila pelancong datang untuk menginap di hotel-hotel yang menjadi pilihan, mereka terus akan bertanya di mana tempat-tempat menarik untuk dilawati,” katanya ketika ditemui HarakahDaily di pejabatnya, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengurus Hotel Jewels berkata, di sekitar Bandar Kota Bharu, tempat yang sering dicadangkan, Pasar Siti Khadijah atau Bazar Siti Aisyah untuk membeli-belah.
Selain itu katanya, Muzium Negeri dan pasar malam di hadapan hotel ini juga antara tempat yang menjadi tarikan pelancong khususnya untuk sesi makan malam sambil bersantai.
Pada masa sama, beliau turut mencadangkan supaya pihak hotel menjalinkan kerjasama dengan agensi pelancongan khususnya untuk khidmat kenderaan bagi membolehkan mereka untuk meninjau tempat menarik di negeri itu.
“Mereka datang untuk tujuan melawat dan makan-makan kerana negeri kita ini disifatkan sebagai syurga makanan, jadi kena ada penyusunan bersama seperti pengangkutan untuk membawa pelancong.
“Bayaran caj kenderaan itu perlu ditentukan oleh agensi pelancongan sendiri,” ujarnya yang menambah bahawa beliau berasa gembira apabila diberikan kepercayaan dalam menjalinkan kerjasama untuk menjayakan TMK 2024 sebagai rakan strategik.
“Pihak hotel juga perlu tahu tempat-tempat menarik di samping meletakkan risalah berkaitan pelancongan di Kelantan untuk diletakkan di lobi-lobi hotel di seluruh negeri ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/1/2024