Lawat Perlis: Pelancong boleh sewa motosikal elektrik

- Advertisement -

ARAU: Bagi menyokong Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025, pusat sewaan motosikal elektrik dibuka bagi memudahkan pelancong mengembara ke seluruh negeri Perlis.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif Smart Leisure & Travels Sdn Bhd, Dato’ Nellsen Young berkata, ia selari dengan pengiktirafan Perlis sebagai Perlis Geopark dan hasrat kerajaan ke arah mencapai sasaran karbon sifar seawal 2050.

“Pembukaan pusat sewaan motosikal elektrik ini bertujuan untuk mempromosi dan menyediakan kemudahan kepada para pelancong agar dapat meneroka, menikmati keindahan dan keunikan negeri.

“Kita akan menguruskan penyewaan motosikal elektrik jenama E-Bixon bermula Februari 2024 di Kuala Perlis, seterusnya Padang Besar, Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Arau dan beberapa hotel terpilih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena majlis pelancaran Motosikal Elektrik di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini, semalam.

Pelancaran disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut hadir Raja Puan Muda, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli. – HARAKAHDAILY 24/1/2024

- Advertisement -