Filem Pendekar Awang – Darah Indera Gajah dinilai 1/10?

- Advertisement -

SAYA berkesempatan memenuhi jemputan bagi menonton filem Pendekar Awang – Darah Indera Gajah yang baru sahaja memasuki pawagam. Salah seorang individu yang terlibat dalam pembuatan filem ini, saudara Hilmi Ismail  menjadi penganjur kepada tayangan ini. Ramai lagi yang dijemput bagi menyaksikan sendiri mutu filem tersebut di LFS, Paya Bunga. 

Saya bukan pakar dalam perfileman dan hanya mampu mengulas mengikut selera sebagai seorang penonton yang sebelum ini banyak menonton filem-filem (masa muda-muda dahulu). Tetapi memandangkan ada kritikan yang amat-amat negatif terhadap filem ini, maka saya percaya si pengkritik itu amat jauh mutu penilaiannya berbanding saya yang bukan pakar ini. Jadi saya akan memberikan beberapa komen saya berkenaan filem ini. 

Filem berkaitan sejarah sebegini akan memberikan gambaran berkenaan perjuangan orang-orang terdahulu untuk menyelamatkan tanah air daripada ditakluk penjajah. Filem Mat Kilau telah meletakkan tanda aras yang agak tinggi dengan kutipan hampir RM100 juta, membuktikan bahawa filem seperti ini tidak dipinggirkan penonton, asalkan berkualiti. 

Watak Awang cuba diangkat sebagai hero dalam cerita ini, agak kurang dikenali. Mungkin sebab namanya tidak semasyhur pahlawan Pahang Mat Kilau, Tok Gajah dan lain-lainnya. Tetapi keberanian pengarah untuk mengangkat Pendekar Awang, patut dipuji supaya sejarah lebih berkembang dengan maklumat baharu. 

Latar belakang filem yang banyak di kawasan berhutan itu sangat menarik dan menimbulkan suasana zaman akhir 1800. Adegan-adegan persilatan masih menunjukkan seninya sebagaimana filem Mat Kilau. Pelakon wanita semuanya bertudung, tiada adegan yang negatif. Kecuali babak berpegang tangan antara Fazura dan Fattah Amin. Eh, tapi dia orang laki bini. 

- Advertisement -

Wan Hanafi Su masih sebagaimana biasa dalam menghayati wataknya, tidak perlu dipertikaikan lagi. Kehadiran Ruzaidi Abdul Rahman, pelakon yang sudah lama tidak muncul adalah bagi menghidupkan watak antagonis bersama Amerul Affendi sebagai Tobah bertukul besi. Jangan lupa, Ruzaidi adalah bekas juara silat Malaysia di zaman mudanya. Jadi pemilihan beliau dilihat tepat. Hilal Azman dan Hasnul, dua nama besar dalam industri perfileman Malaysia juga ada dalam senarai pelakon. 

Sudah tentu filem ini ada kelemahannya. Amatlah tidak logik jika semuanya pujian. Bagi saya, tidak dinafikan filem ini mempunyai ramai nama-nama yang besar. Tetapi akhirnya peranan utama terbahagi, jadi tidak sangat tertumpu kepada Awang, agak sedikit tenggelam. Tidak sebagaimana Mat Kilau, Adi Putra dilihat jelas mengetuai jalan cerita.

Mungkin saya rasa jika watak Haji Sulong, ayah kepada Awang, lakonan Namron diberikan kepada Hasnul, akan lebih berkesan kerana Namron kurang dilihat sebagai orang tua. Apapun Namron tetap memberikan kualiti lakonannya. Watak Nadim pula boleh memberikan inspirasi kepada remaja-remaja yang mungkin tidak sedar bahawa dahulu, perjuangan menentang penjajah adalah bermula dari usia remaja lagi. 

Manakala babak-babak lain bolehlah kita fahami ia sekadar satu bentuk susunan atau cantuman kepada jalan cerita, walaupun mungkin tidak wujud. Elemen ciptaan sebegini diterima penonton, sekadar penyeri kepada jalannya. 

Saya berharap jika ada lagi kesinambungan filem sejarah sebegini akan ada pula cerita dari negeri Terengganu dan Kelantan yang mana nama-nama seperti  Sultan Zainal Abidin III, Tok Ku Paloh, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbung, Haji Hassan Munas (Tok Janggut) dan beberapa nama lain lagi yang sebenarnya membantu Mat Kilau menentang British dan mereka juga berperanan di tempat masing-masing menyedarkan rakyat akan jahatnya British.

Pastinya jika Eman Manan, Ruzaidi, Ebby Yus, Yusof Wahab, Ahmad Tarmimi Serigar (sekadar menyebut beberapa nama artis veteran) dibantu Beto Khusairi, Yayan Ruhian, filem sejarah ini akan lebih segar dengan pengalaman dan penghayatan watak yang menghidupkan jalan cerita.

Dan bagi saya jika ada yang memberikan penilaian 1/10 sahaja untuk filem ini, mereka itu pasti dari golongan yang tidak tahu nilai filem dan pembenci kebangkitan bangsa Melayu dan Islam. Mereka tidak boleh menerima hakikat yang kita sebagai tuan tanah Melayu ini, adalah pejuang yang berusaha menghambat British sehingga tergadainya nyawa kerana mempertahankan bumi bertuah ini. Adakah bagi mereka filem yang memperbodohkan penonton, berpakaian seksi adalah lebih bermutu? 

Saya tidak merasa kecewa menonton filem Pendekar Awang dan memberikan nilai 7.5/10 bagi filem ini.

*Sedutan filem yang saya kongsikan ini telah mendapat kebenaran untuk disiarkan tidak lebih 30 saat. 

MOHD NASIR ABDULLAH
24 Januari 2024 – HARAKAHDAILY 24/1/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -