Tidak setia DAP punca polarisasi kaum dan sikap ‘superiority’

Tuntut yang bukan-bukan dan burukkan imej negara di mata luar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: DAP jelas menyerlahkan ketidaksetiaan kepada negara ini yang ditunjukkan daripada sikap, tindakan dan pendirian parti itu serta para pemimpinnya dalam banyak perkara.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Rosni Adam berkata, perbuatan parti itu yang tidak setia kepada negara adalah punca kepada melebarnya jurang perpecahan atau polarisasi serta keterasingan antara kaum rakyat.

Beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia menilai kembali keberadaan DAP sebagai parti politik di negara ini terutama dalam peranan dimainkan mereka yang menyebabkan sikap tidak setia kepada tanahair.

Dr Rosni yang baru pulang daripada Misi Bantuan Banjir Selatan Thailand memberi contoh kesetiaan penduduk minoriti iaitu dalam kalangan Muslim-Melayu di negara jiran itu kepada tanahair mereka.

“Potret Raja dan Permaisuri serta penggunaan Bahasa Thailand di institusi pengajian yang lebih 95 peratus Muslim-Melayu termasuk juga di sekolah pendidikan Islam persendirian membuktikan kesetiaan itu,” jelasnya

- Advertisement -

Namun sebaliknya di Malaysia ujar beliau, DAP bukan sahaja dilihat tidak menyanjung Raja-raja Melayu, malah Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan juga tidak diutamakan berbanding bahasa ibunda kaum.

“Bahasa-bahasa lain kalau sebagai tambahan tak apa, tetapi secara penggunaan utama dan lebih-lebih lagi urusan rasmi perlu guna Bahasa Kebangsaan iaitu dalam Bahasa Melayu,” ujar doktor pergigian profesional itu.

Bidasnya, sikap politik DAP itu malah mempengaruhi kaum hinggakan terbawa-bawa ke institusi pendidikan milik persendirian kaum tersebut terutama dalam kesetiaan mereka kepada pemimpin tertinggi negara dan penggunaan bahasa.

Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia ini juga berhujah, ketidaksetiaan DAP kepada negara juga adalah disebabkan dominasi parti itu ke atas kaum khususnya Tionghua telah menimbulkan rasa ‘superiority’.

“Rasa ‘superiority’ ini yang menyebabkan mereka sentiasa berterusan menuntut perkara-perkara yang sepatutnya tidak dituntut. Jadi mereka ini saya sarankan, sepatutnya perlu mengambil semula kursus-kursus Tatanegara.

“Kursus begini begitu penting supaya mereka lebih sayang kepada negara ini serta mempunyai sikap negarawan,” tegas beliau yang turut menyatakan kebimbangan ketidaksetiaan DAP kepada negara diserlahkan ke luar negara.

Dr Rosni memberi contoh perbuatan memburuk-burukkan imej Malaysia di luar negara dan ucapan bersifat mempertikai atau menentang kedaulatan negara ini kepada pihak asing yang tidak sepatutnya.

“Kena faham bahawa kita menumpang teduh di negara ini sebagai rakyat Malaysia dan kita kena ada rasa jati diri yang tinggi dan cinta kepada negara ini, serta menjunjung tinggi kenegaraan sebagaimana dalam Rukun Negara,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan DAP mengenai Kontrak Sosial dan sejarah negara ini yang mesti diselami perjuangan serta usaha kemerdekaan di mana sepatutnya setiap rakyat merasa terhutang budi kepada penduduk majoriti dan asal Tanah Melayu ini.

“Jika DAP sering bersuara mengenai hak kaum minoriti, mereka juga perlu seiring memperakui penghormatan terhadap kaum majoriti yang hakikatnya telah banyak berkorban untuk keharmonian semua kaum di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/1/2024

- Advertisement -