Islam di Kelantan

- Advertisement -

KEMASUKAN Islam ke negeri Kelantan dipercayai secara langsung dari negeri Arab, kerana Kelantan dari dahulu lagi bermazhab Syafei, bacaan al-Quran mengikut lafaz Arab dan bunyi sebutannya tidak ada beza dengan sebutan lidah Arab.

- Advertisement -

Selain daripada wang dinar yang bertarikh 577Hijrah yang menggunakan tulisan Arab, maka pada tahun 1321 Hijrah bersamaan 1906 Masehi, sekali lagi tulisan Arab digunakan pada pitis (wang) yang menjadi perbelanjaan kerajaan Kelantan yang bertulisan dikeluarkan pada bulan Zulhijjah 1321 Hijrah. Pitis ini digunakan di samping ringgit Kerajaan Selat.

Kelantan sebagai Negeri Serambi Mekah

Negeri Kelantan juga terkenal dengan gelaran negeri Serambi Mekah yang membayangkan Islam amat kuat dihayati oleh rakyat dan pemerintah di negeri ini. Kelantan telah beberapa kali menjalankan hukuman mengikut Al-Quran seperti di zaman pemerintahan Sultan Ahmad (1886-1889 masehi) dan Sultan Mansur  (1890-1900 Masehi). Begitu juga Sultan Muhammad II (1837-1886 Masehi) merupakan Sultan Kelantan yang melakukan pemerintahan lebih teratur dan mengikut undang-undang Islam di mana beliau melantik Mufti sebagai Ketua Hakim.

Pedagang-pedagang negeri Arab, Farsi dan Gujerat sebagai contoh ulama’ seperti Tok Khurasan dari Khurasan, begitu juga raja-raja atau pihak istana memainkan peranan dalam memantapkan keislaman di Tanah Melayu khususnya Negeri Kelantan. 

Antara tahun 1900 hingga 1940 Kota Bharu menjadi pusat pentadbiran negeri Kelantan dan juga pusat pengajian. Sebagai contoh Masjid Muhammadi sebagai pusat pengajian. Islam di mana terdapat ramai ulama’ tempatan yang mendapat pendidikan di Masjidilharam Mekah yang mengajar di sini. Pengajian agama merupakan pelajaran yang dominan di Kelantan di mana para ulama’ menjadi tumpuan masyarakat di Kelantan.

Setiap waktu solat fardhu  ramai Jemaah membanjiri masjid  dan surau untuk solat berjamaah. Sementara itu pondok-pondok tempat kediaman pelajar terdapat di setiap jajahan di negeri Kelantan. Suasana begini menjadi tarikan kepada ulama’ di luar Kelantan untuk berhijrah ke negeri Kelantan dan mengajar agama di sini seperti Tok Khurasan dari Afghanistan yang datang di awal abad ke-20. Di samping itu suasana yang demikian juga menjadi tarikan kepada pelajar dari Kemboja, Selatan Thailand, Kepulauan Indonesia, Vietnam dan negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu untuk datang belajar di sini.

Ulama’ sebagai tonggak dalam masyarakat 

Masyarakat Kelantan memandang tinggi kepada para ulama’ di samping mereka di anggap alim agama dan dianggap manusia berkat’. Orang ramai cuba mendekatkan diri masing-masing serta berbakti kepada para ulam’. Di rumah ulama’ sentiasa ada orang berkunjung sama ada lelaki atau perempuan.

Mereka membuat kunjungan untuk bertanya tentang perkara-perkara yang dihadapi oleh mereka berhubung dengan soal keagamaan dan juga untuk meminta ulama’ sembahyang hajat bagi keselamatan hidup keluarga mereka di dunia. Sambil membuat kunjungan di kalangan orang-orang kampung pula ada yang menolong sesuatu untuk keluarga ulama’ seperti membersihkan rumah dan halamannya dan lain-lain keperluan kehidupan keluarga ulama’ itu. Lazimnya komuniti Melayu tradisional mempunyai ulama’ atau guru agama yang lebih dikenali dengan panggilan  tok guru.

Mereka melambangkan semangat keagamaan dalam masyarakat tersebut dan biasanya bertugas mengajar di surau atau masjid-masjid dan menjalankan upacara keagamaan. Pada umumnya bagi orang-orang Melayu di kampung-kampung agama merupakan lambang hidup dan juga lambang perpaduan.

Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK)

Apabila membincangkan mengenai Islam di negeri Kelantan tidak dinafikan peranan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) begitu penting dalam hal keislaman di negeri ini. MAIK merupakan badan yang bertanggungjawab mentadbir segala hal yang bersangkutan dengan Islam. Badan ini telah ditubuhkan oleh Sultan Muhammad  IV atas nasihat seorang ulama’ yang terkenal iaitu Tok Kenali pada tahun 1915 Masehi.

Matlamat penubuhan MAIK pada waktu itu ialah untuk membangunkan semula pentadbiran agama Islam di Negeri Kelantan, di mana kuasa Sultan sebagai pelindung agama akan bertambah kukuh lagi. Mereka sedar bahawa sekiranya Kelantan hendak maju maka tugas ini hanya akan terlaksana melalui agama. Di samping itu penubuhan MAIK bertujuan untuk melicinkan lagi soal pengurusan dan penyelarasan dalam pentadbiran agama. 

Di antara aktiviti yang dijalankan oleh badan ini ialah membina dan membaiki masjid-masjid, memajukan perjalanan sistem pendidikan di peringkat negeri  Kelantan samada sekolah-sekolah aliran Melayu atau Arab, aktiviti penterjemahan dari kitab-kitab berbahasa Arab ke bahasa Melayu, mengadakan aktiviti-aktiviti yang boleh menambahkan sumber kewangan MAIK dengan cara mendirikan rumah-rumah sewa serta menjalankan perniagaan. MAIK juga telah menyediakan peruntukan kewangan yang khusus untuk menjalankan aktiviti dakwah di kalangan orang-orang Asli. 

Di bidang pelajaran walaupun MAIK telah menyerahkan sekolah-sekolah agama dan Arab di bawah pentadbiran kerajaan negeri, tetapi masih tetap memberi perhatian terhadap kemajuan pendidikan di negeri ini seperti menyediakan skim pinjaman BukuTeks, Biasiswa Majlis Agama  dan Biasiswa Pelajaran Tinggi. 

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK)

Pada tahun 1979 dengan persetujuan Sultan Yahya Petra dan Sultan Ismail Petra kerajaan Kelantan telah menubuhkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan untuk membantu MAIK dalam membangunkan syiar Islam. JHEAIK telah menyediakan draf Enakmen Keluarga Islam yang telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 1984. Ia bertujuan untuk memperkemaskan undang-undang nikah kahwin di negeri Kelantan.

Begitu juga Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah dikuatkuasakan pada 1 Mac 1983 . Di antara tanggungjawabnya ialah mentadbir pembangunan sekolah-sekolah agama kerajaan negeri Kelantan. Ia juga mengurus pentadbiran Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri.

Tujuan penubuhan Pusat Bahasa Arab ini ialah untuk memperluaskan pelajaran bahasa Al-Quran di Malaysia. Pusat Bahasa Arab mengadakan kursus Bahasa Arab secara intensif kepada pelajar-pelajar di seluruh Malaysia yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia selama tiga bulan.

Pusat Bahasa Arab ini juga mengadakan kursus Bahasa Arab kepada guru-guru agama dan Bahasa Arab untuk pelajar yang akan melanjutkan pelajaran di pusat-pusat pengajian tinggi di Negara-negara Arab.

YIK juga bertanggungjawab ke atas pengurusan Pusat Pengajian pondok moden yang  terletak di Pantai Kandis, Telong, Bachok, Kelantan. Pondok ini ditubuhkan dengan tujuan untuk melahirkan ulama’ yang berkemampuan untuk memahami isi kandungan kitab-kitab lama dalam berbagai ilmu.

Pondok ini juga bertujuan untuk melahirkan siswa-siswa yang mempunyai potensi sebagai mubaligh, pendakwah, imam serta memahami perkembangan ilmu pengetahuan dan masyarakat semasa. Ia juga bertujuan untuk melahirkan siswa-siswa yang dapat menjadi penyambung tugas-tugas ulama’ pondok yang terdahulu dan juga mengekalkan pengajian cara pondok dengan mengadakan peperiksaan-peperiksaan kepada pelajar-pelajar dan menyertakan sijil-sijil kepada mereka. Pondok moden ini juga mengadakan kursus-kursus umum dan vokasional seperti pertanian, jahitan dan pertukangan.

Kesimpulan

Demikianlah gambaran tentang Islam di negeri Kelantan dari segi sejarah kemasukan Islam di Kelantan, sikap masyarakat Islam Kelantan terhadap Islam dan matlamat serta peranan institusi kerajaan terhadap perkembangan Islam di Kelantan. – HARAKAHDAILY 22/1/2024

Penulis ialah Pengerusi ILHAM PAS Pusat/AJK LTPP.

- Advertisement -