Matlamat dan tujuan penempatan hukum dalam Islam

Dato' Dr Mahfodz Mohamed
- Advertisement -

Syariah Islamiyah diperkenalkan untuk membawa rahmat kepada seluruh umat manusia. Allah SWT berfirman yang ditujukan kepada Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Dan tiadalah kami mengutuskan engkau (Wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam.” (Al-Anbiya’: 107)

- Advertisement -

Dan firman-Nya lagi yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Yunus: 57)

Yang demikian itu Islam menetapkan hukum-hakamnya bertujuan untuk membentuk masyarakat yang luhur yang dipenuhi kasih sayang, keadilan dan kemesraan. Ketiga-tiga matlamat  itu akan  membawa natijah kearah matlamat yang unggul.

Pertama- tujuannya untuk mendidik individu supaya menjadi sumber kebajikan kepada jemaahnya melalui ibadah-ibadah  yang disyariatkan Allah. Tujuan utamanya untuk membersihkan jiwa seorang dan kedua untuk mengukuhkan hubungan dengan masyarakat agar dapat membersihkan jiwanya daripada sifat hasad dengki serta mendidik pergaulan sesama muslim dan bukan muslim agar tidak berlaku kezaliman dan kemungkaran.

Solat sebagai ibadah yang paling utama, Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah lebih besar (faedahnya dan kesannya).” (Al-Ankabut: 45)

Begitulah juga ibadah puasa dan lain-lain yang boleh membangunkan masyarakat yang penuh dengan mahabbah dan persamaan walaupun berlainan bahasa, warna kulit dan negara. Kewajipan zakat diperkenalkan untuk tolong-menolong dan bantu-membantu antara orang kaya dan orang miskin. Sebab itu Nabi Muhammad SAW mengarahkan kepada pegawainya yang ditaklifkan untuk mengambil zakat dengan bersabda (maksudnya): “Ambillah zakat daripada orang kaya untuk diagihkan kepada orang-orang fakir.”

Tujuan kedua ialah untuk menegakkan keadilan dalam masyarakat Islam. Memberi keadilan kepada kedua-dua belah pihak dan berlaku adil kepada semua.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa sahaja) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.” (Al-Maidah: 8)

Keadilan dalam Islam adalah matlamat yang paling tinggi kerana ianya ditujukan kepada beberapa bidang yang luas, termasuk berlaku adil dalam perbicaraan, dalam kesaksian dan berlaku adil dalam hubungan antara muslim dengan bukan muslim dengan menentukan bahawa setiap orang mempunyai hak yang sama.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Layanilah orang seperti kamu suka dilayani.” Dan sabdanya lagi: “Kasihilah orang lain seperti kamu kasihi diri kamu sendiri.”

Islam telah lama memberi keadilan sosial dan keadilan dalam perundangan dengan menjadikan  semua rakyat diberikan keadilan dengan tidak mengira latar belakang, sama ada kaya atau miskin, orang bangsawan atau rakyat biasa, tidak membezakan antara bangsa dan warna kulit dan agama.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Semua kamu adalah dari Adam dan Adam berasal dari tanah, tidak ada kelebihan antara orang Arab dan bukan Arab melainkan kerana taqwa.”

Dan firman Allah yang bermaksud: “Wahai sekelian manusia sesungguhnya kami jadikan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak suku untuk kamu kenal-mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa.” (Al-Hujurat: 13)

Untuk mencapai keadilan sosial yang lebih sempurna Islam mewajibkan untuk menghormati sesama insan, bahkan dalam peperangan pun kanak-kanak, wanita-wanita dan orang-orang tua tidak boleh diperangi.

Firman Allah maksudnya: “Dan sesungguhnya kami telah memuliakan anak Adam, dan kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut, dan kami telah memberi rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang telah kami ciptakan.” (Al-Isra’: 70) – HARAKAHDAILY 22/1/2024

Penulis ialah Pengerusi Sidang As Sabiqun PAS Pusat.

- Advertisement -