DAP tidak setia kepada negara

- Advertisement -

DEFINISI setia ialah teguh hati (dalam hal persahabatan, bermasyarakat, dan lain-lain) dan tetap hati. Seseorang yang setia itu sanggup berkorban demi orang lain disebabkan perasaan kasih pada dirinya.

- Advertisement -

Islam menamakan kesetiaan dengan perkataan wala’ yang bermaksud mengikuti pemimpin dan negara dengan taat dan setia. Pemimpin dan negara itu juga adalah yang dikasihi, paling dekat didampingi, dan menjadi pelindung. Hal ini berpandukan firman Allah SWT:

﴿ٱللَّهُ وَلِيُّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَوۡلِيَآؤُهُمُ ٱلطَّـٰغُوتُ يُخۡرِجُونَهُم مِّنَ ٱلنُّورِ إِلَى ٱلظُّلُمَٰتِۗ أُوْلَـٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ ٢٥٧﴾

“Allah ialah Wali kepada orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kesesatan kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, wali-wali mereka ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan (kesesatan kekufuran). Mereka itu ialah penghuni Neraka; mereka kekal di dalamnya.” [Surah al-Baqarah: 257]

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ ٥٥ وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ ٥٦﴾

“Sesungguhnya, wali kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55) Dan sesiapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman menjadi walinya, maka sesungguhnya, pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang. (56)” [Surah al-Ma’idah: 55–56]

Kesetiaan kepada Allah dan rasul adalah mutlak tidak berbelah bahagi. Hal ini demikian kerana, Allah itu Maha Suci daripada segala kekurangan, manakala rasul pula bersifat ‘ismah yang bermaksud dipelihara oleh Allah dengan wahyu kerana dilantik oleh-Nya menjadi contoh teladan kepada seluruh manusia.

Adapun kesetiaan kepada yang selain kedua-duanya adalah tidak mutlak, dengan mengikut syarat perkara yang benar, bukan perkara yang salah. Adapun kepada negara ialah berteraskan pegangan kepada dasar perlembagaan atau piagamnya, maka wajib setia terhadapnya mengikut syarat yang baik.

Negara Malaysia menegaskan prinsip Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan berkonsepkan kebebasan beragama atau beragama tanpa paksaan, di samping berkonsepkan Raja Berperlembagaan (Raja di bawah Perlembagaan).

Manakala bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan kerana ia merupakan bahasa asal penduduk dan bahasa perantaraan semua kaum. Hak istimewa Melayu dan bumiputera pula adalah bagi menguatkan semula setelah Melayu dan bumiputera dipinggirkan oleh penjajah.

Inilah prinsip dan konsep yang ditegaskan dan dinyatakan sejak negara ini mencapai kemerdekaan oleh parti-parti yang terlibat secara langsung dalam perjuangan kemerdekaan sejak awal, iaitu kalangan yang dipilih mengikut konsep Demokrasi Berparlimen.

Islam ialah al-din, iaitu ajaran yang sempurna mengikut takrif ajarannya, menunjukkan tiada pemisahan antara semua urusan kehidupan manusia dengan ajaran agama. Islam juga membawa konsep tiada paksaan dalam dakwahnya kerana Islam juga percaya dengan hati yang ikhlas. Adapun paksaan melahirkan sifat tidak ikhlas atau munafiq yang tidak sah imannya.

Namun, Islam menjalinkan hubungan masyarakat majmuk dengan konsep adil kepada semua dalam sistem pemerintahan yang adil sama ada Khilafah ataupun Raja Berperlembagaan. Malaysia pula menetapkan konsep Raja Berperlembagaan.

Adapun bangsa Melayu ialah bumiputera asal yang terbesar dan sangat rapat hubungan mereka dengan Islam. Apabila mereka menganut Islam, Islam dan Melayu dianggap sama sahaja sehingga menjadi perkataan seerti. Tiap-tiap Melayu adalah Islam dan Melayu yang murtad dianggap bukan Melayu, manakala semua penganut Islam adalah Melayu tanpa mengira bangsa mereka.

Rumpun Melayu ialah bumiputera terbesar. Dalam Islam, ada disebut hukum uruf. Makna urufialah perkara yang sudah menjadi kefahaman yang diketahui dan dipakai oleh umum (orang ramai dalam masyarakat). Kalangan para ulama’ menjadikannya salah satu hujah yang diiktiraf oleh agama Islam apabila kuat sandarannya dan luas penggunaannya.

Maka, hak istimewa kepada Melayu dan bumiputera ditetapkan juga dalam Perlembagaan Persekutuan kerana kedudukan mereka dipinggirkan oleh penjajah pada zaman itu.

Maka, setiap Melayu itu Islam dan bumiputera dan setiap yang menganut Islam itu Melayu menjadi hukum uruf. Adapun rumpun bumiputera tidak semuanya Islam, tetapi dimasukkan juga dalam hak istimewa. Bumiputera bukan Melayu turut dianggap sebagai bumiputera, termasuk orang bukan Islam. Begitu juga orang asal bukan Melayu yang mendapat hak istimewa bumiputera turut menjadi hukum uruf.

Parti Tindakan Demokratik (DAP) membawa aliran baharu yang berlainan apabila menegaskan prinsip sekularisme dalam perlembagaannya yang membawa takrif agama mengikut bahasa penjajah daripada perkataan ‘religion’, bukan perkataan ‘al-din’. Mereka ternyata menentang Perlembagaan Persekutuan yang menandakan ketidaksetiaan kepada negara dan menentang hukum uruf dalam Islam.

Hal ini ditegaskan lagi oleh sikap mereka menentang pelaksanaan Islam bagi penganut Islam sahaja yang tidak ada kaitan dengan bukan Islam adalah melampaui batas kesetiaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Perkara yang nyata dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa undang-undang syariat dikenakan terhadap penganut Islam sahaja, namun DAP melahirkan penentangan terbuka apabila membawa perubahan kembali kepada Islam yang sebenar bagi penganut Islam dan berani mahu menjadi penasihat kepada perkara Islam secara berlagak seperti penjajah dahulu.

DAP juga membawa konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang bertujuan melumpuhkan dan menghapuskan hak istimewa Melayu Islam dan bumiputera. Begitu juga dalam hal mendaulatkan bahasa kebangsaan, DAP tetap menggunakan bahasa kaum atau bahasa penjajah dalam semua penggunaan rasmi pentadbiran, politik, ekonomi, dan perjuangannya, sehingga berbeza dengan negara dunia lain yang mempertahankan bahasa kebangsaan masing-masing yang digunakan sepenuhnya dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Tindakan DAP menyebabkan bahasa kebangsaan tenggelam tidak kelihatan dalam seluruh penggunaan dan amalan mereka, bahkan ada dalam kalangan mereka yang tidak mampu berbahasa kebangsaan.

Bahasa Melayu ialah antara bahasa rumpun terbesar dunia dan pernah menjadi bahasa ilmu pada zaman sebelum kedatangan penjajah. Huruf dan istilahnya lebih kaya daripada penjajah, tetapi dipinggirkan.

DAP tidak menghormati kedudukan Raja Berperlembagaan apabila tidak menghormati kurnia pingat oleh raja-raja dengan menetapkan peraturannya sendiri, walaupun pada akhir-akhir ini menunjukkan sikap lebih bermuka-muka kerana tetap mempertahankan prinsip dan konsep perjuangan mereka yang tidak menghormati raja-raja.

DAP bersikap tidak setia kepada negara apabila menyanggah arus Perlembagaan Persekutuan yang menghayati perubahan ke arah kemerdekaan yang sebenar, dengan DAP mengekalkan saki-baki warisan penjajah yang bercanggah dengan agama dan bangsa serta budaya bangsa mereka sendiri, bukan sahaja semangat patriotik bernegara yang sebenarnya merdeka.

DAP bukan sahaja mengekalkan tindakan meminggirkan Melayu Islam dari segi ekonomi, bahkan mengambil langkah politik menghilangkan hak kepimpinan Melayu Islam, walaupun orang Melayu yang beragama Islam paling tidak fanatik perkauman kerana kesan daripada ajaran Islam yang ada pada diri mereka.

Islam membezakan antara perasaan kasih akan bangsa dan keluarga yang menjadi fitrah manusia dengan fanatik perkauman yang zalim. Mereka yang hilang rasa kasih akan bangsa mereka, berada di luar tabii manusia.

Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا ١﴾

“Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya, Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” [Surah al-Nisa’: 1]

Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣﴾

“Wahai manusia, sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal! Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]

Ayat-ayat ini menegaskan adanya hubungan silaturahmi kekeluargaan, kemasyarakatan, kebangsaan, dan kemanusiaan.

Adapun kecintaan fanatik mengatasi petunjuk agama adalah dilarang kerana firman Allah SWT:

﴿لَّا تَجِدُ قَوۡمٗا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ يُوَآدُّونَ مَنۡ حَآدَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَوۡ كَانُوٓاْ ءَابَآءَهُمۡ أَوۡ أَبۡنَآءَهُمۡ أَوۡ إِخۡوَٰنَهُمۡ أَوۡ عَشِيرَتَهُمۡۚ أُوْلَـٰٓئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ ٱلۡإِيمَٰنَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٖ مِّنۡهُۖ وَيُدۡخِلُهُمۡ جَنَّـٰتٍ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ رَضِيَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُۚ أُوْلَـٰٓئِكَ حِزۡبُ ٱللَّهِۚ أَلَآ إِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ٢٢﴾

“Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah reda terhadap mereka, dan mereka pun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya, Hizbullah itu ialah golongan yang beruntung.” [Surah al-Mujadalah: 22]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 10 Rajab 1445 / 22 Januari 2024 – HARAKAHDAILY 22/1/2024

- Advertisement -