12 PBT perlu realisasi agenda dasar MBI

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebanyak 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kelantan hendaklah memain peranan bagi merealisasikan agenda pembangunan Islam yang terkandung dalam dasar Membangun Bersama Islam (MBI).

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, sejak tahun 1990 banyak kesan positif dapat dilihat dalam pentadbiran kerajaan negeri termasuk PBT.

Katanya, pada 1993 kerajaan negeri mewujudkan Jabatan Pembangunan Islam di seluruh PBT.

Oleh itu beliau berharap Ahli-ahli Majlis mesti membina ketokohan kepimpinan dan berpandangan jauh bagi menerajui perubahan tersebut.

“Saya yakin, jika Ahli-ahli Majlis memainkan peranan yang terbaik maka rakyat akan terus mendukung, mempercayai dan menjiwai matlamat dan hala tuju yang dilaksanakan,” katanya pada majlis penyampaian watikah pelantikan Ahli Majlis PBT hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nazran Muhammad dan anggota Exco Kerajaan Negeri Hilmi Abdullah.

Pada majlis itu seramai 288 Ahli Majlis PBT daripada 12 PBT menerima watikah pelantikan.

Menteri Besar juga berkata PBT merupakan kuasa ketiga selepas kerajaan Persekutuan dan negeri.

Menurutnya juga Ahli Majlis PBT hendaklah cakna terhadap isu-isu yang dianggap kecil termasuk kebersihan, longkang dan sistem perparitan.

“Ahli Majlis merupakan jambatan yang menghubungkan rakyat dengan PBT selain berperanan sebagai ejen penerangan dan penyampaian maklumat pihak berkuasa tempatan kepada rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/1/2024

- Advertisement -