Parti ‘mainstream’: PAS perlu perjuang nasib seluruh rakyat

Dato’ Iskandar Abdul Samad
- Advertisement -

PETALING JAYA: PAS mesti dilihat memperjuangkan nasib seluruh rakyat Malaysia untuk menjadi parti ‘mainstream’, kata Dato’ Iskandar Abdul Samad.

- Advertisement -

Bendahari PAS Pusat itu menegaskan walaupun PAS sebuah parti Islam namun ia mesti dilihat sensitif kepada keperluan seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Justeru, katanya, pemimpin-pemimpin tidak sepatutnya dilihat bercakap tentang isu-isu melibatkan umat Islam dan bangsa Melayu sahaja.

Beliau berkata, untuk memastikan ini berlaku, pemimpin dan ahli PAS perlu sering melakukan engagement dengan pemimpin dan masyarakat dari pelbagai budaya, latar belakang dan keperluan.

PAS, kata beliau adalah kerajaan di empat negeri dan telah memenangi kerusi-kerusi parlimen atau dewan negeri di banyak negeri lain.

Tambah beliau tetapi PAS juga mesti berperanan di negeri-negeri di mana PAS tidak memenangi apa-apa kerusi atau bilangan kerusi yang kecil.

Justeru katanya PAS perlu mempertingkatkan gerak kerja dan kehadirannya di selatan Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Kata beliau, bagaimanapun perlu diakui terdapat usaha-usaha yang terancang untuk memburuk-burukkan PAS.

“Terdapat pihak-pihak yang bersungguh-sungguh membina persepsi yang buruk terhadap PAS.

“Bukan mudah untuk mengatasi usaha-usaha ini tetapi PAS perlu turun ke akar umbi untuk memberi penerangan kepada rakyat untuk mengubah persepsi dan imej yang dibina,” katanya ketika ditemui selepas program pemukiman Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, di Kelana Jaya, semalam.

Beliau berkata, pimpinan dan ahli pula perlu berhati-hati dan tidak melatah untuk membuktikan bahawa segala tuduhan dan tohmahan itu tidak benar dan fitnah semata-mata. – HARAKAHDAILY 20/1/2024

- Advertisement -