Pemerintahan: Politik dan Raja tidak boleh dipisahkan 

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, di mana dua sistem ini berjalan seiring untuk saling mengukuhkan dan tidak boleh terpisah walaupun mempunyai bidang kuasa dan fungsi yang berbeza.

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Negeri Selangor, Yusfarizal Yussoff berkata, terdapat sembilan raja-raja di Malaysia dan salah seorang tersebut akan dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh lima tahun di bawah sistem giliran. 

- Advertisement -

“Raja-raja Melayu berdaulat di negeri masing-masing, tetapi mereka juga memainkan peranan penting sebagai ahli Majlis Raja-raja di bawah Perlembagaan Persekutuan. Konsep Raja Berpelembagaan di Malaysia memberi kuasa tertinggi kepada raja. 

“Kuasa politik sekuat mana pun tidak boleh melemahkan sama sekali kuasa Raja-raja Melayu.  Walaupun Raja-raja Melayu tidak terlibat dalam politik kepartian melalui sistem demokrasi, kuasa Raja-raja Melayu tidak berkurang dan tetap berperanan dalam perjalanan pentadbiran negara.

“Segagah apa pun sesebuah pentadbiran dalam sistem demokrasi, ahli politik dalam pentadbiran negara tidak mempunyai kuasa muktamad,” ujar pengamal undang-undang tersebut.

Menurut beliau dalam menerangkan isu itu, sering kali apabila berlaku banyak isu dalam negara, peranan Raja-raja Melayu seolah-olah dikesampingkan dan diletakkan tidak sepenting demokrasi. 

Namun pada dasarnya tegas Yusfarizal dalam hujahnya, kuasa Raja-raja Melayu sepatutnya diberi keutamaan dalam menentukan kestabilan amalan demokrasi dalam negara ini.

“Contohnya apabila berlaku pergolakan politik dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada akhir Februari tahun 2020, kuasa Raja-raja Melayu sebagai benteng tertinggi dan terakhir berjaya menyelesaikan kemelut demokrasi yang meruncing.

“Apabila semua Ahli Parlimen dititah menghadap Yang di-Pertuan Agong secara berasingan. Satu mesyuarat khas bersama Majlis Raja-raja Melayu diadakan untuk memutuskan penyelesaian terbaik sehingga satu keputusan telah dibuat dengan penuh hemat.

“Kebijaksanaan tindakan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu ketika itu adalah manifestasi kepada keseimbangan demokrasi dengan peranan kuasa Raja-raja Melayu dalam menjamin kestabilan politik negara.

“Sistem demokrasi dalam negara ini boleh menjadi tempang, dek kerana sikap dan sifat ahli-ahli politik yang memerintah,” terang beliau lagi. 

Namun katanya, jika sistem demokrasi negara tersebut menjadi tempang dan songsang, Raja-raja Melayulah yang akan menjadi payung negara serta akan melindungi rakyat dan negara daripada ketempangan dan kemelut politik yang berlaku.

Maka, kedaulatan Raja-raja Melayu itu tegas Yusfarizal, mestilah sentiasa terjamin dan dijunjung tinggi dalam sistem yang diamalkan di negara ini. – HARAKAHDAILY 18/1/2024

- Advertisement -