Selatan Thai perlu bantuan pemulihan kesan banjir

- Advertisement -

YALA, Thailand: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) menyeru agar lebih ramai dermawan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu pemulihan pasca-banjir di selatan negara ini.

Pengarah PASRelief, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah berkata, ini memandangkan kejadian pada hujung tahun lalu itu menyebabkan kawasan yang sangat luas terjejas membabitkan kehidupan dan prasarana penduduk.

- Advertisement -

Menurut beliau yang juga ADUN penaga, walaupun kaum Muslim adalah minoriti di negara gajah putih ini, tetapi mereka adalah penduduk majoriti yang mendiami wilayah-wilayah Selatan Thailand.

Jelasnya, usaha bantuan bukan sahaja perlu diteruskan, tetapi juga melibatkan bantuan untuk pemulihan semula dalam banyak aspek kerana banjir tersebut disifatkan antara terburuk dalam sejarah negara itu.

Terdahulu beliau diberikan penerangan ringkas oleh Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Rajabath Yala, Dr Hamdan Dato selaku pemudahcara dalam Misi Bantuan Banjir Selatan Thailand PASRelief, hari ini.

Delegasi Malaysia ini telah ke beberapa lokasi penting yang dilanda banjir tersebut dan menyampaikan sumbangan di Maahad Islam dan Madrasah Tahfiz Quran Darul Hidayah Muslimah, Membala di sini sebentar tadi.

Sekolah pendidikan rendah ini menjadi tular di media sosial berikutan rakaman yang menunjukkan terdapat para pelajarnya duduk di atas bumbung bangunan disebabkan paras air banjir melebihi 3 meter.

Kemudahan sekolah ini juga terutamanya 12 pondok pelajar serta beberapa bangunan kecil turut runtuh dan dihanyutkan arus yang memerlukan usaha pembinaan semula dilakukan.

Turut bersama delegasi ini ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena dan Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Juga Ahli Jawatankuasa PASRelief, Senator Ustaz Musoddak Ahmad dan Dr Rosni Adam serta Kordinator PASRelief Negeri, Ustaz Mohd Rosli Azmi (Kedah), Ustaz Roslan Md Esa (Pahang) dan Ustaz Mohd Tarmizi Mohd Yahaya (Sabah).

Banjir yang melanda Selatan Thailand pada 22 Disember lalu selama beberapa hari itu telah menjejaskan 109,282 keluarga di lima wilayah iaitu Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun.

Misi PASRelief ini menyasarkan bantuan khusus di tiga wilayah iaitu di Pattani di mana seramai 9,632 keluarga terjejas akibat banjir itu dan di Narathiwat (9,029 keluarga) serta Yala (122 keluarga).

Sumbangan daripada orang ramai dan para dermawan boleh dihulurkan menerusi akaun Maybank 564070612333 atas nama PASRELIEF dengan rujukan ‘banjir Selatan Thai’. – HARAKAHDAILY 17/1/2024

- Advertisement -