Strategi Sanusi bakal bikin pihak lawan ‘telur ayam’ dalam PRU16

- Advertisement -

KEDAH digemparkan dengan penahanan empat individu pengurusan tertinggi KFA atas siasatan rasuah RM6 juta.

Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor percaya dakwaan rasuah itu adalah plot rekaan musuh politik untuk menjatuhkan imej dan juga kedudukan beliau pada masa ini.

- Advertisement -

Ramai pemerhati politik yakin dakwaan rasuah KFA dibuat bagi cuba mengalihkan pelbagai isu negara yang sensitif seperti Perdana Menteri bukan bangsa Melayu, Pilihan Raya PBT, pelantikan bukan-Islam sebagai panel jawatankuasa syariah dan paling hangat ialah pertukaran kerajaan.

Namun begitu pihak lawan politik Dato Seri Muhammad Sanusi didapati meningkatkan serangan politik yang tidak berhenti terhadap beliau. Selain isu rasuah, dakwaan tingkah laku Sanusi berkaraoke dalam TikTok dijadikan bahan isu paling utama bagi menghancurkan reputasi dan imej cemerlang beliau di mata rakyat seluruh Malaysia.

Beliau adalah individu yang susah untuk berhenti bekerja dan kerana itulah pada beliau tidak penat melayan penyokong-penyokong muda yang semakin bertambah.

Populariti dan sokongan yang melonjak naik dalam kalangan anak muda kepada beliau dilihat berikutan strategi beliau yang santai melayani penyokong di TikTok. Strategi mendamping anak muda melalui TikTok telah membuka peluang kepada anak-anak muda untuk mengenali dan menerima PAS sebagai satu parti politik yang mesra dan terbuka.

Mungkin lawan politik beliau lupa bahawa Sanusi bukanlah orang yang baru terjun ke arena politik. Sudah berpuluh tahun dan sudah separuh dunia beliau tumpahkan usaha dan keringat beliau untuk menaikkan nama PAS dalam kalangan rakyat Malaysia.

Apa jua jenis bentuk tarbiyah dan dakwah, banyak yang telah beliau lalui dan harungi. Maka kerana itulah dapat dilihat beliau cuba mendapatkan tempat dalam kalangan rakyat pada setiap genap lapisan masyarakat.

Beliau bermain bola sepak, ragbi dan juga badminton sebagai strategi memenangi hati rakyat terutama anak muda. Beliau juga melayari media sosial TikTok dengan melayani kesemua jenis peminat beliau sama ada anak muda kaki lepak, mat rempit, ustaz muda, imam muda, pempengaruh, anak yatim, anak OKU dan juga anak gadis. Hampir kesemua sesi beliau melayani TikTok akan ditemani isteri beliau iaitu Tok Puan Jusmalailani Jusoh lebih-lebih lagi ketika melayani peminat wanita.

Begitupun kesemua serangan itu tidak sedikit pun menggugat atau melemahkan beliau untuk terus bekerja untuk rakyat dan Negeri Kedah. Sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Parti PERIKATAN NASIONAL, tanpa sesiapa pun sedar, beliau sebenarnya telah pun memulakan kempen PRU16 untuk menguasai sasaran kesemua pengundi-pengundi anak muda dalam 5 tahun seterusnya.

Lihat sahaja pada sesi perlawanan bola sepak antara pasukan pilihan Menteri Besar Kedah melawan pasukan selebriti TikTokers muda telah menarik perhatian dan sokongan ribuan penyokong walaupun pada ketika itu isu rasuah KFA sedang hangat. Namun isu KFA itu tidak sedikit pun mencalarkan imej beliau sebaliknya beliau didapati berjaya meyakinkan rakyat bahawa plot jahat telah dikenakan kepada beliau.

Suka atau tidak, Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah berjaya memahatkan nama beliau ke dalam setiap hati dan jiwa perasaan anak muda pada masa ini. Maka bersedialah pihak lawan politik beliau bakal telur ayam sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen pada PRU16 nanti.

Depa rancang lama dah, kita saja yang lalai. Pihak lawan akan berterusan mencari kesalahan Sanusi namun realitinya beliau telah jauh meninggalkan lawan beliau dengan langkahan yang sangat jauh.

Dato Seri Muhammad Sanusi adalah seorang yang genius dan kuat bekerja. Pelaburan di Kedah terus melonjak. The Greater Kedah akan terus direalisasi. Sepatutnya pihak lawan telah lama mula bekerja membina reputasi dan keyakinan rakyat dan bukan bekerja mencari salah Sanusi.

Ditulis oleh:

ABU SALAHUDDIN – HARAKAHDAILY 16/1/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -