Pakatan Harapan di‘Umno’kan Zahid Hamidi

- Advertisement -

BANDINGAN orang tua-tua dahulu, jika terlalu takutkan hantu, buah nangka bersarungpun mereka kata hantu. Takut dengan bayang-bayang sendiri di mana bila dia berjalan, dia terasa bayang itu mengekorinya. Walaupun dalam politik sikap berwaspada itu penting, tetapi ia mesti dikawal supaya tidak menjadi paranoid yang melampau.

Akibat daripada ketakutan itu, mereka mula menjadi serba tidak kena. Maka timbullah cadangan atau usaha yang gila daripada minda yang sudah tidak waras. Ini semua kerana mereka takut dosa mereka akan dihukum di dunia ini. Sedang dalam masa yang sama, mereka langsung tidak bimbang dengan azab Allah di akhirat nanti. Jadilah mereka pemuja Machiavelli. Semuanya boleh asal capai matlamat.

- Advertisement -

Zahid telah mengajak Umno untuk menekan Ismail Sabri sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri agar disegerakan PRU pada tahun 2022. Dengan desakan pimpinan Umno di peringkat tertinggi, Ismail Sabri akhirnya tunduk dan mengumumkan PRU pada bulan November 2022 yang berisiko diadakan dalam waktu banjir. Tiada pula idea untuk mengekalkan pemerintahan Ismail Sabri. Sedangkan Umno menguasai kerajaan.

Pada tahun 2020, wajah Zahid antara wajah yang didapati tersenyum lebar hasil daripada kejayaan berpakat dengan PN menjatuhkan PH waktu itu. Beliau menyokong PN mungkin kerana ketakutan dengan ugutan PH yang secara jelas mahu memenjarakan pemimpin Umno, tetapi tiada pula mereka mengugut Tun Mahathir untuk dibicarakan walaupun sejak berpuluh tahun menuduh Tun sebagai Maha Firaun.

Setelah merasa lega dengan pertukaran kerajaan itu, Zahid kembali merasa rimas kerana beliau tidak disenaraikan untuk dilantik menjadi Menteri. Malah beliau direhatkan oleh PN kerana mempunyai kes. Dengan menggunakan kuasanya yang ada, Umno berjaya menukar Perdana Menteri daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Ismail Sabri. Pun begitu, Zahid masih gagal mendapat tempat untuk menjadi wazir.

Setelah ligat berfikir, Zahid telah berpakat dengan PH sebelum PRU15, menurut pengakuan Raja Bahrin bagi menjadi kerajaan bersama. Pilihan rakyat bercampur-campur, tetapi telah banyak undi yang lari kepada PN. Dan hasil khianatnya Zahid kepada ahli Umno dengan janji No DAP no Anwar, maka Zahid dan cikgunya Anwar, tersenyum sambil bersalaman selepas bersetuju menjadi kerajaan.

Zahid mencapai cita-citanya bukan sahaja untuk menjadi Menteri dan kekal sebagai Presiden Umno, malah berjaya membuang semua calon yang dianggap boleh mencabar beliau di pemilihan parti. Laba tambahan yang Zahid perolehi ialah kes beliau tidak diteruskan oleh pihak pendakwa. Jadilah beliau pesalah yang dilepaskan tanpa dibebaskan Passport beliau dikembalikan.

Sekarang, setelah melihat keadaan menjadi ancaman kepada beliau, Zahid muncul dengan idea bagi mengekalkan kerajaan yang ada dengan beliau mahu mencadangkan agar Parlimen meluluskan akta berkaitannya. PH yang menjadi dungu, tiba-tiba juga melompat bersetuju sedangkan dahulu, merekalah juara dalam percaturan menggulingkan kerajaan. Secara mudah ia berlaku kerana apabila kepentingan Zahid terancam, maka sokongan kepada PH juga terancam dan kerajaan akan jatuh.

Teringat kisah seorang ahli ibadat Bani Israel yang mana beliau digoda oleh syaitan untuk merogol seorang gadis yang diamanahkan oleh abang-abang beliau untuk dijaga. Syaitan kemudiannya datang dalam mimpi abang gadis itu dan memberikan tanda yang adiknya dibunuh oleh si abid tadi. Abid itu kemudian ditangkap dan dijatuhkann hukuman bunuh. Syaitan datang lagi menyuruh si abid tadi sujud kepadanya jika mahu selamat. Sebaik sahaja si abid sujud, syaitan berkata aku berlepas diri.

Habis semua jadi haram bila mereka yang kena. Zahid berjaya memperdaya PH dan secuit dua pimpinan Umno panik bersamanya setelah beliau memperbodohkan ahlinya sendiri. Bukan itu sahaja, penyokong PH juga turut mempertahankan Zahid habis-habisan. Jadi semuanya bermula daripada usikan nakal PN kepada PH yang menyebabkan seluruh jentera dan kepimpinan PH menjadi cemas. Semua butang mereka tekan kerana ketakutan langkah akan menjadi nyata.

MOHD NASIR ABDULLAH 
15 Januari 2024 – HARAKAHDAILY 15/1/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -