Istilah genosid: Yahudi cipta, mereka yang langgar

- Advertisement -

TELAH 100 hari berlalu. Hampir 2 juta rakyat hilang tempat tinggal. Sekitar 30,000 nyawa melayang. Lebih 60,000 cedera. Sebanyak 239 masjid diroboh. Manakala 23 buah hospital dibom, dengan 320 buah sekolah musnah dan 1,671 kilang industri dirosakkan.

Jangka masa antara 7 ke 10 tahun diperlukan untuk membersihkan runtuhan dan kemusnahan yang dilakukan oleh Israel dan membangunkan kembali bumi Gaza!

- Advertisement -

Pesuruhjaya Agensi Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNRWA), Philippe Lazzarini berkata, kemusnahan di Gaza bagaikan serangan selama 100 tahun!

Demikian sebahagian kerosakan dan kemusnahan dilakukan Israel di Gaza sejak 100 hari lalu. Ia berlaku terang-terangan disaksikan masyarakat dunia tanpa selindung. Menyebabkan negara di hujung benua Afrika merasa bertanggung jawab mengheret rejim Zionis-Israel ke muka pengadilan. 

Afrika Selatan mendahului negara-negara Arab dan negara umat Islam bertindak mendakwa Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas jenayah yang disifatkan sebagai melanggar Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid 1948. 

Genosid adalah jenayah penghapusan etnik, suatu istilah yang dicipta oleh Yahudi sendiri. 

Ketika bangsa Yahudi dibunuh beramai-ramai di Jerman sekitar tahun 1944, muncul seorang peguam berbangsa Yahudi bernama Raphael Lemkin mencipta istilah ‘genosid’ untuk menjadikan tindakan Nazi membunuh Yahudi di Jerman sebagai satu jenayah.

Lemkin, Yahudi Poland dilahirkan pada 1900 di Volkovyssky Uyezd, Russia. Ketika tinggal di Amerika Syarikat, dia secara solo cuba melobi PBB supaya menerima ideanya menjenayahkan perbuatan penghapusan etnik oleh Nazi. 

Istilah genosid (genocide) adalah gabungan dua kalimah iaitu ‘geno’ (Bahasa Yunani) yang bermaksud keluarga, bangsa atau kabilah. Manakala kalimah cide (Bahasa Latin) bermaksud bunuh. Maka genosid (genocide) bermaksud jenayah memusnahkan satu bangsa atau puak. 

Akhirnya pada tahun 1948, PBB mengumumkan genosid sebagai satu jenayah berat yang tidak boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa.

Israel sebagai negara yang baru ditubuhkan ketika itu menyokong penuh Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid 1948. Jarang-jarang kelihatan Israel menyokong mana-mana resolusi dan konvensyen PBB. 

Hari ini, jenayah yang mereka mengenai itu dilakukan oleh mereka sendiri. Mereka yang mencadangkan untuk ‘menjenayahkan’ genosid. Mereka yang menyokong konvensyen itu. Dan kini mereka yang melanggarnya.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague Belanda sejak beberapa hari lalu telah mendengar pendakwaan ke atas Israel atas jenayah berkenaan. Walaupun tiada sebarang hubungan bangsa mahupun agama, Afrika Selatan mengambil inisiatif dan bertanggung jawab terhadap usaha menghentikan keganasan berkenaan.

Apa tidaknya, serangan Israel kali ini adalah terbesar dari segi angka kemusnahannya sejak tahun 1948. Sehingga pertengahan Disember lalu, dianggarkan sebanyak 29,000 bom telah digunakan untuk membunuh orang awam Palestin menyebabkan 40 peratus rumah kediaman musnah di Gaza.

Setiap hari Jabatan Kesihatan dan pihak penerangan Palestin melaporkan angka kemusnahan yang besar. 

Agensi hak asasi manusia EuroMed Right semalam melaporkan seramai 31,491 warga Gaza terbunuh dalam tempoh 100 hari sejak 7 Oktober tahun lalu. 28,951 adalah berpunca dari serangan udara. 12,345 kanak-kanak, manakala 6,471 adalah wanita.

ARIS HAZLAN ISMAIL – HARAKAHDAILY 15/1/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -