Sumbangan RM2,000 kepada mangsa kebakaran

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri telah menyumbang sebanyak RM2,000 kepada mangsa kebakaran di Jalan Sultanah Zainab (belakang Kedai Makan Tom Tom Shafie), 12 Januari lalu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata, sumbangan diberikan kepada mangsa yang terjejas teruk bagi meringankan bebanan mereka.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat mangsa kebakaran, hari ini. Turut hadir Pengarah Kebajikan negeri, Said Sidup. (Foto atas)

Sempena lawatan itu beliau turut menyampaikan keperluan lain seperti selimut dan alas tidur.

Pada kejadian 12 Januari lalu, sembilan keluarga telah terlibat dalam kebakaran itu sehingga menyebabkan 36 anggota keluarga dari enam buah rumah yang terbakar hangus tinggal sehelai sepinggang.

Tiga buah rumah daripadanya hanya mengalami kebakaran 20 peratus.

Rohani berkata, selain itu PAS Kawasan Kota Bharu akan membantu mereka mencari bantuan lain bagi meringankan bebanan setiap mangsa.

“Kebanyakan rumah yang terbakar ini didiami oleh penyewa sejak beberapa tahun lalu dan ada yang mendiami sendiri.

“Kita akan melihat kaedah mana yang sesuai dan dibolehkan untuk membantu dirikan semula kediaman mereka,” katanya.

Tambah beliau, ada juga mangsa rumah mereka didirikan atas tanah sendiri tetapi nama milik bersama.

Katanya, ini kerana beberapa perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi memudahkan urusan pembinaan semula kediaman.

Beliau bagaimanapun mengingatkan mangsa kebakaran sama ada yang menyewa atau tinggal di kediaman sendiri mencari terlebih dahulu rumah sewa yang baru.

Mangsa kebakaran, katanya turut diberi kekuatan serta kesabaran yang tinggi ketika menghadapi ujian berat ini.

Difahamkan, enam keluarga dari mangsa kebakaran itu menginap sementara di hotel Ibis sebelum rumah sewa baru ditemui. – HARAKAHDAILY 14/1/2024

- Advertisement -