Tuduhan fitnah PN rasuah YDP Agong RM1 bilion

Disambut tokoh PH termasuk berjawatan dalam kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Para pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan konco-konconya diingatkan supaya tidak mengheret institusi Raja Berperlembagaan dalam taktik fitnah politik yang amat jahat dan kotor mereka.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan perbuatan PH memfitnah orang lain adalah semata-mata untuk menutup pekung kelemahan dan kegagalan diri mereka sendiri.

- Advertisement -

“Tuduhan bahawa PN merasuah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebanyak RM1 bilion untuk menjatuhkan kerajaan adalah satu fitnah melulu yang jelek, keterlaluan dan tidak masuk akal. 

“Fitnah jahat ini disambut pula oleh beberapa tokoh PH termasuk yang berjawatan di dalam Kerajaan. Saya percaya mereka yang membuat dan menyebar fitnah ini melakukan kesalahan berat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. 

“Laporan polis telah dibuat oleh Dato’ Seri Hamzah Zainuddin selaku Ketua Pembangkang dan Setiausaha Agung PN supaya mereka yang berkenaan disiasat dan diambil tindakan tegas,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh.

Malaysia tegasnya, mempunyai peruntukan tertentu di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan cara-cara serta kaedah yang sah dalam pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan. 

Perlembagaan Persekutuan menurut beliau, membenarkan sebuah Kerajaan dibentuk sama ada melalui pilihan raya atau di luar pilihan raya, iaitu apabila atas apa jua sebab Perdana Menteri meletakkan jawatan. 

Bekas Perdana Menteri itu turut berkata, peruntukan perlembagaan ini mestilah dipatuhi dalam menentukan sebarang pembentukan atau pertukaran kerajaan. – HARAKAHDAILY 11/1/2024

- Advertisement -