PM Anwar perlihatkan sikap biadab terhadap YDP Agong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim seolah-olah sedang berada dalam keadaan terdesak berhubung muat naik di media sosial rasminya berhubung sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, semalam.

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, hantaran segera dilakukan Anwar itu bukan sahaja mendahului, bahkan tidak senada kenyataan rasmi Istana Negara.

- Advertisement -

Malah bidas beliau, kenyataan yang berbaur politik dan bergaya agak sinikal oleh pemimpin itu telah dimuat naik bersama gambar arkib dan bukannya gambar ketika pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong. 

“Dalam pada itu, titah-titah Baginda YDPA yang telah beliau sebutkan langsung tidak disentuh oleh kenyataan rasmi Istana Negara. Maka sejauhmana kebenarannya bahawa Yang di-Pertuan Agong benar-benar bertitah sedemikian? 

“Sekiranya benar wujudnya titah tersebut, Pemuda PAS yakin bahawa Istana Negara akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi kepada umum supaya dipandang serius oleh semua pihak, sepertimana kenyataan-kenyataan rasmi yang pernah dikeluarkan sebelum ini.

“Satu perkara lagi yang memusykilkan berhubung kenyataan Anwar Ibrahim adalah apabila beliau menambah dalam pertemuan tersebut perihal derma sebanyak RM500 juta atau RM750 juta yang perlu disalurkan kepada asnaf dan golongan miskin dalam negara,” ujarnya.

Menurut Ustaz Hanif, seperti ada mesej tersirat yang Anwar cuba sampaikan kepada YDPA di mana Pemuda PAS mengesyaki bahawa Anwar telah terpedaya dengan satu kisah fitnah di sebuah blog persendirian.

“(Blog tersebut) telah mengaitkan Yang di-Pertuan Agong dan rasuah daripada blok pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan. Sekiranya perkara ini benar, Pemuda PAS kesal dengan seorang Perdana Menteri yang sewenang-wenangnya mempercayai khabar angin yang singgah di telinga. 

“Sudah hilang pendirian “Tidak pasti, jangan kongsi” yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan? Keadaan yang berlaku ini secara tidak langsung menyerlahkan kebiadapan Anwar Ibrahim terhadap Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya lagi.

Jelasnya, keadaan tersebut terlihat apabila Anwar melebih-lebih mendahului Agong dalam sebarang kenyataan dan sewenang-wenangnya mengheret Tuanku YDPA ke dalam sentimen politiknya.

Pemuda PAS tegas Ustaz Hanif, meminta Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri supaya menunjukkan tauladan yang baik kepada rakyat dan tidak mengheret pihak Istana ke dalam kancah politik bakal memalitkan nama buruk kepada Yang di-Pertuan Agong. – HARAKAHDAILY 11/1/2024

- Advertisement -