‘Mana tahu malam ni tidur, esok kerajaan dah berubah’

- Advertisement -

BENTONG: Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Khairuddin Abdullah, mengambil kisah Ashabul Kahfi sebagai analogi kepada jentera parti agar tidak lari ‘bersembunyi’ ketika parti memerlukan mereka.

- Advertisement -

Ini, katanya seolah-olah perjuangan itu ‘magik’, pejam, celik mata kerajaan sudah berubah.

“Mana tahu malam ni kita tidur, esok bangun kerajaan dah berubah. Ia memang tak mustahil dengan izin Allah seperti kisah Ashabul Kahfi, namun yang pasti, hakikat yang perlu diterima, kita perlu keluar, turun ke lapangan, bekerja untuk dapat atau hasilkan sesuatu.

“Memanglah tak mudah, bukan seperti silap mata, tidur, esok bangun kerajaan dah bertukar,” ujarnya ketika merasmikan Kursus Pentadbiran Dan Pegurusan PAS Kawasan Dan Cawangan di Markaz PAS Chegar Medang, dekat sini semalam.

Beliau turut menyedari kelesuan yang melanda parti kerana sikap segelintir ahli mendiamkan diri, tidak cakna dan ambil peduli untuk membantu perjuangan kerana parti tidak mempunyai hak memaksa mereka.

“We can lead the horse to the river bank but we can’t force it to drink water,’ maksudnya apa? Kita boleh bawa kuda di tepi sungai tetapi kita tak boleh paksa minum air.

“Kita boleh mengadakan pelbagai program untuk ahli kita namun kita tak boleh paksa mereka datang sekalipun program tersebut baik kerana kehadiran itu bukan dipaksa,” ujarnya.

Dalam konteks jemaah ulas beliau, suka dan rela merupakan amalan yang sangat mulia, namun andai ahli memilih untuk tidak hadir, parti tidak boleh paksa mereka.

Trend kebelakangan ini ujarnya jelas kelihatan kelesuan bukan sekadar ahli malah pimpinan juga hadir ke program-program yang telah ditetapkan.

Ini, ujarnya mungkin kerana kekurangan motivasi atau juga pertindihan jawatan atau kebarangkalian masih tidak dapat menilai dari sudut aulawiyat.

“Inilah kesan tidak melihat kepada kepentingan ijtimak (berkumpul bersama) dengan program jemaah. Jadi dalam hal kehadiran ini, perlu diambil berat oleh peringkat masing masing agar jemaah terus membugar, ujarnya.

PAS Bentong membuka gelanggang 2024 dengan memperkemas struktur pentadbiran dan pengurusan organisasi sebagai persediaan awal menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) pada bila-bila masa.

Persediaan itu penting kerana pengurusan dan pentadbiran merupakan dua pasak utama tegaknya ‘bangunan’ bagi sesebuah organisasi politik.

Sebanyak empat kertas kerja dibentang oleh ahli panel terdiri daripada Setiausaha PAS kawasan, Ismail Abu Bakar, setiausaha kerja, Syukri Yatim serta bendahari, Azmin Baharuddin. – HARAKAHDAILY 8/1/2024

- Advertisement -