Bekalan air: Razman gesa Saarani penuhi keperluan Perak

Nasihat supaya tidak tunduk kepada desakan dan tekanan pihak tertentu

- Advertisement -

IPOH: Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria kekal menegaskan bahawa bekalan air di negeri ini masih berada pada tahap yang membimbangkan dan mesti terlebih dahulu dipenuhi keperluan tersebut.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik pembatalan hasrat pemberian air oleh Kerajaan Negeri Perak kepada Pulau Pinang yang mengikut perjanjian akan disepakati sebanyak 700 juta liter sehari (mld). 

- Advertisement -

Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol berharap Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani Mohamad tidak tunduk kepada tekanan parti tertentu hingga mengorbankan kepentingan dan keperluan rakyat Perak.

“Sebagai contoh di Kerian, air yang surut antara punca ketidakmenjadian padi. (Sedangkan) Bekalan air boleh diibaratkan seperti corong oksigen dalam kapal terbang. 

“Apabila berlaku kecemasan, kita perlulah menyelamatkan diri sendiri terlebih dahulu, barulah orang lain. Seperti seorang ibu dan seorang bayi, ibu perlulah memakai corong oksigen terlebih dahulu sebelum memakai corong kepada anaknya,” ujar beliau.

Sehingga kini isu bekalan air tidak mencukupi masih menjadi isu mendesak yang belum dapat diselesaikan terutama melibatkan pengairan sawah padi luas serta penternakan ikan kolam terutama di Daerah Kerian.

Pun demikian sebelum ini Perak menyatakan kesediaan untuk memenuhi permintaan keperluan air Pulau Pinang di mana ia dilihat sebagai tindakan terdesak dan tunduk kepada kepentingan pihak tertentu. – HARAKAHDAILY 8/1/2024

- Advertisement -