Kelantan manfaat kelebihan ekonomi digital

- Advertisement -

EKONOMI digital ialah kegiatan ekonomi berdasarkan teknologi digital internet. Istilah ekonomi digital (digital economy) diperkenalkan Don Tapscott melalui bukunya The Digital Economy: Promise and Peril in the Age of Networked Intelligence pada tahun 1995.

- Advertisement -

Seiring kepesatan kemajuan teknologi digital yang merentas sempadan untuk transaksi global dan setiap detik berlumba-lumba menawarkan kemudahan dan kecekapan sistem tadbir urus organisasi mahu pun syarikat.

Kerajaan Kelantan berteraskan dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) pimpinan Menteri Besar ato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud memanfaatkan kelebihan ekonomi digital sebagai pemangkin utama transformasi iktisad.

Menyahut cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), Ustaz Mohd Nassuruddin memasyhurkan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Kelantan (PTEDK) pada 4 Januari lepas.

Kesinambungannya dijangka diadakan pelancaran buku PTEDK dijadualkan pada Mac hadapan.

Senario digital

Menyedari tahap penerimagunaan teknologi digital dalam sektor awam di Kelantan masih pada skala sederhana melibatkan urusan pembayaran tanpa tunai dan penggunaan sisCloud, maka kerajaan Kelantan melaksanakan perancangan strategik seiring kemajuan teknologi terkini.

Merujuk sampel dalam sektor industri dan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kerajaan negeri mengenal pasti jurang digital melebar dalam kalangan usahawan dan pembeli yang menyokong pelaksanaan pendigitalan.

Di samping itu, faktor masa dan ketidakmampuan aspek kewangan serta kekurangan latihan dan pendekatan bimbingan secara langsung dan berimpak segera turut mempengaruhi kebantutan perkembangan tersebut.

Beralih ke sektor pertanian, PTEDK janaan Kerajaan Kelantan menggalakkan penerimagunaan teknik pertanian pintar berasaskan teknologi blockchain, IoT dan CCTV dalam kalangan petani antaranya kaedah fertigasi dan akuaponik yang dilengkapi sistem internet kebendaan dan robotik.

Lebih banyak platform digital tempatan akan diwujudkan bagi membolehkan akses kepada pasaran digital ‘Farm to Table’ bagi mempertingkatkan penerimagunaan teknologi digital melalui pembangunan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dalam talian.

Sistem sokongan akan diwujudkan bagi merangsang kegiatan dalam sektor perlombongan dan pengeluaran mineral dengan pemantauan permit dan doket bahan batuan yang lebih efisien dan sistematik secara digital.

Begitu juga dalam sektor pembuatan, sistem sokongan itu juga bakal melonjakkan aktiviti sektor pembuatan selaras dengan transformasi pendigitalan dan IR4.0.

Dalam subsektor pelancongan, pangkalan data pelancongan yang komprehensif dengan akses terbuka akan diwujudkan. Manakala bagi subsektor pendidikan, memulihara semua bahan koleksi dan dokumen penting sebagai rujukan melalui pendigitalan.

Lebih menarik, program budaya amalan membaca dalam kalangan rakyat di Kelantan bakal giat dianjurkan dengan menyokong penerbitan buku teks dan buku aktiviti untuk beralih kepada pendigitalan dengan menerbitkan e-buku dan menghasilkan format interaktif.

Tanpa mengenepikan subsektor kewangan dan insurans, Kelantan akan mewujudkan Program Pemacu Inovasi Teknologi Kewangan (Fintech) untuk mempercepatkan pengembangan syarikat fintech peringkat permulaan.

Pendekatan dan sasaran

Bagi menjamin keseragaman, kaedah pelaksanaan PTEDK akan disuai padan selari dengan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025 yang dibangunkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri (MAMPU).

Bahkan atas semangat federalisme, matlamat PTEDK disinkronisasi dengan matlamat Program Pangkalan Data Utama (PADU) janaan kerajaan persekutuan.

Oleh itu, visi PTEDK diplot khas untuk menjadikan pembangunan sosioekonomi Kelantan berfokuskan ekonomi digital patuh syariah, inklusif, bertanggungjawab dan mampan berkonsepkan “Ekonomi Digital Pemacu Kelantan Maju Rakyat Sejahtera”.

Oleh itu, Kelantan menyenarai beberapa sasaran utama menerusi empat pendekatan berikut;

  1. Menetapkan sasaran 80 peratus perkhidmatan kerajaan dalam talian secara E2E (dari peringkat awal ke akhir) menjelang 2025 dan kedua ialah pembangunan infrastruktur yang menyeluruh untuk menyokong semua aktiviti ekonomi digital tahun 2025.
  2. Mekanisma mesra pelabur menerusi Portal Invest Kelantan dan Sistem e-Pelaburan dijadualkan wujud pada tahun 2024.
  3. Meletakkan sasaran 80 peratus pekerja Ekonomi Digital (GIG) dapat didaftarkan di bawah Pusat Ekonomi Digital GIG Kelantan menjelang tahun 2025 dan mendapat manfaat daripada kerajaan.

Bagi memastikan keberhasilannya, Majlis Teknologi Maklumat Negeri Kelantan (MTMNK) yang dipengerusikan Menteri Besar akan mengawal selia PTEDK secara langsung demi memastikan kejayaan menerusi pelaksanaannya yang holistik, profesional dan sistematik.

Kerajaan negeri juga mengambil inisiatif mengklasifikasikan tanggungjawab pelaksana utama kepada enam kluster iaitu Kluster Kerajaan Digital, Kluster Ekonomi dan Industri Digital, Kluster Infrastruktur Digital, Kluster Bakat Digital, Kluster Masyarakat Digital dan Kluster Persekitaran Digital.

Landskap ekonomi digital

Selari dengan kecanggihan teknologi dan IR4.0, Kerajaan Kelantan memahami kepentingan peranan platform digital dan ekosistem dalam membentuk landskap ekonomi digital negeri demi memenuhi kesejahteraan rakyat.

Pertumbuhan platform dan ekosistem berorientasi digital yang patuh syariah diyakini bakal melonjakkan pertumbuhan ekonomi dari segenap aspek pada peringkat makro.

Kehidupan rakyat Kelantan dijangka semakin sejahtera apabila menikmati manfaat pendigitalan dalam semua segmen kehidupan kerana PTDEK manifestasi pencapaian tawaran manifesto untuk dilaksanakan pada penggal ke-15.

Pelan tersebut adalah kesinambungan daripada Pelan Induk Pembangunan Mampan Negeri Kelantan yang dilancarkan pada tahun 2020 dan diyakini mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi yang pesat.

“Kita perlu berubah dan pantas menyesuaikan diri dengan perubahan semasa agar terus kekal relevan,” kata Menteri Besar. – HARAKAHDAILY 8/1/2024

Penulis ialah Pengarang Urus Setia Penerangan Dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN)

- Advertisement -