Antara bon RM100 juta @ bela nasib rakyat

Dewan Rakyat.
- Advertisement -

KETIKA di sana-sani ramai bercakap kemungkinan berlaku lagi pertukaran teraju di Putrajaya, Umno pula awal-awal lagi mendakwa wakil rakyat mereka terikat kepada perjanjian.

- Advertisement -

Setiausaha Agung Umno Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilapor berkata, tiada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan menyokong Perikatan Nasional (PN) kerana terikat dengan perjanjian.

Menurutnya mereka menandatangani perjanjian sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, berkaitan Akta Anti-Lompat Parti.

“Menerusi perjanjian itu mereka yang ingkar arahan akan keluar Umno secara sukarela sekali gus perlu mengosongkan kerusi.

“Mereka juga tandatangan perjanjian kena bayar bon denda sebanyak RM100 juta kalau ingkar ketetapan parti,” katanya seperti dilapor media November lepas.

Bagi Pengarah Pusat Kajian Strategi Negeri Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof, perjanjian itu antara faktOr yang masih mengekalkan kerajaan Madani sekarang.

“Itu di antara halangan untuk ahli parlimen BN bergerak daripada sokong Dato’ Seri Anwar kepada seorang perdana menteri yang baharu.

“Jadi berdasar halangan besar itu satu perkara yang perlu kita fahami adakah ahli parlimen Melayu sanggup membiarkan perdana menteri dan DAP menguasai senario politik negara sekarang,” ujarnya di sini.

Oleh itu beliau menyifatkan nilai politic will perlu ada kepada semua ahli parlimen.

Contohnya ahli parlimen Umno apabila mengubah sokongan kepada pihak
lain mereka kena membayar bon RM100 juta.

“Ini bermakna kalau 10 ahli parlimen Umno membuat keputusan untuk beralih sokongan mereka perlu membayar RM1 bilion, jadi faktor kewangan itu sebenarnya faktor yang menghalang untuk bergerak.

“Tetapi di atas perkiraan kepentingan negara, keresahan dan ketidakselesaan rakyat di bawah pentadbiran sekarang faktor denda RM100 juga mungkin ada cara lain ditangani sekiranya kerajaan baharu dibentuk,” ujarnya.

Akuan bersumpah

Pertukaran kerajaan pada penggal lepas berlaku dengan adanya akuan bersumpah (SD). SD boleh dijadikan bukti untuk diketengahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Malah SD juga laku keras ketika kerajaan Madani mahu dibentuk selepas PRU-15 apabila tiada parti yang mendapat majoriti dua pertiga. Perang SD berlaku begitu hebat ketika itu.
Dr Wan Nik berkata, istana akan melihat jumlah SD yang berpihak kepada satu-satu pihak sebelum membuat sebarang keputusan.

“Sekiranya baginda yakin satu-satu pihak mendapat sokongan terbanyak maka tiada pilihan kena menghormati keputusan ahli-ahli parlimen.

“Jadi persoalan kena bayar denda RM100 juta itu boleh berlaku kemudian dengan membawa kes tersebut ke mahkamah.

“Apabila melibatkan perjanjian begitu, perkara ini tidak boleh dirombak dan perlu diurus melalui mahkamah.

“Dalam situasi sekarang kena ubah kerajaan kepada yang baru kemudian boleh memikirkan soal bayar bon RM100 juta,” ujarnya.

Isu tersebut masih berligar kerana ia terikat kepada Akta Anti Lompat Parti yang menjadi menghalang seseorang wakil rakyat daripada bertukar parti.

Persoalannnya sekarang kata Dr Wan Nik, rakyat di merata tempat bercakap mengenai kos sara hidup yang semakin membebankan.

Bebanan hidup rakyat lebih penting daripada ugutan kena bayar bon RM100 juta yang diikatkan oleh Umno.

“Jadi mudarat itu mungkin ada ikhtiarnya sebab sekiranya untuk melihat politik negara berubah dari keresahan kepada keselesaan, bagi saya kena ada keberanian ahli-ahli parlimen Umno.

“Suasana yang berlaku hari ini menggambarkan keresahan majoriti rakyat ekoran kos kehidupan semakin membebankan,” ujar Dr Wan Nik.

Dan menjadi tanggungjawab ahli-ahli parlimen untuk mewujudkan suatu suasana peralihan daripada keresahan kepada keselesaan rakyat.

Namun, ia memerlukan pengorbanan besar setiap ahli parlimen yang berada dalam kerajaan Madani sekarang.

Bagaimanapun isunya sekarang kerajaan Madani mempunyai angka yang besar. Sebanyak 147 ahli parlimen dan dicampur pula lima ahli parlimen Bersatu yang turut menyokong perdana menteri.

Ini bermakna sokongan terhadap kerajaan sekarang agak utuh. Malah perdana menteri menyebut Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan menyokong adegan tebuk atap.

Biarpun Anwar menafikan adegan tebuk atap berulang, namun kejadian seumpama itu tidak dinafikan boleh berulang.

Kenyataan perdana menteri itu jelas menggambarkan Anwar rimas biarpun dalam nada menafikan apa yang boleh berlaku.

Dr Wan Nik berkata, soalnya apabila perdana menteri mengulas mengenai GRS, GPS atau mana-mana parti kekal menyokong beliau, namun realiti di bawah juga perlu dilihat.

“Berlaku ketidakpuasan hati rakyat apabila penyelesaian ekonomi tidak dibuat secara terbaik. Kita lihat bukan sahaja di Semenanjung terkesan terhadap gaya politik Anwar.

“Sabah, Sarawak pun begitu juga, lebih-lebih lagi persoalan ekonomi Sabah dan Sarawak dari sudut kedudukan lebih terkesan berbanding Semenanjung.

“Di Borneo kehidupan rakyat berorientasi nilai luar bandar lebih besar. Dan dari sudut accesibility kemudahan ketinggalan berbanding Semenanjung.

“Sudah pasti jurang tersebut akan membuah suatu harapan baru untuk diubah memandangkan dalam tempoh setahun lalu janji hanya tinggal janji,” tambahnya.

Oleh itu hujah Dr Wan Nik, pemimpin politik di Sabah dan Sarawak berpeluang membuat keputusan untuk memberi sokongan kepada gabungan kuasa baharu yang boleh memenuhi kehendak rakyat di Borneo. – HARAKAHDAILY 6/1/2024

- Advertisement -