TEHRAN: Pihak berkuasa Iran mengesahkan bahawa pasukan keselamatan telah menahan 11 orang yang disyaki terlibat dalam dua letupan bom yang mengorbankan hampir 100 orang dalam upacara peringatan untuk seorang komander tentera yang terbunuh.
Kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS ) atau Da’esh telah mengaku bertanggungjawab atas serangan di Kerman, tenggara Iran, pada Rabu lalu.
Kementerian perisikan Iran dalam satu kenyataan berkata, pasukan keselamatan menahan dua orang kerana memberi sokongan kepada dua pengebom nekad di Kerman dan sembilan lagi yang berpangkalan di bahagian lain Iran yang disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian itu, lapor AFP.
Pengeboman itu adalah serangan yang paling maut di Iran sejak Revolusi Islam 1979, yang berlaku ketika orang ramai hadir dalam di upacara peringatan untuk komander tentera Jeneral Qassem Soleimani, yang dibunuh di Iraq pada 2020 oleh dron AS.
Kedua-dua letupan bom itu berlaku di tengah-tengah suasana tegang di rantau itu ketika perang Israel terhadap Hamas di Gaza menghampiri tempoh tiga bulan.
Kementerian Perisikan berkata ejennya merampas alat letupan dan bahan mentah, jaket letupan, alat kawalan jauh, peledak dan beribu-ribu pelet yang digunakan dalam jaket letupan.
“Salah seorang pengebom berani mati dikenal pasti sebagai warga Tajik,” katanya.
Terdahulu, pihak militian berkata pada hari Khamis, dua anggotanya telah meletupkan tali pinggang letupan ketika berada dalam kalangan orang ramai yang telah berkumpul untuk peringatan Soleimani.
“Kami akan mencari anda di mana sahaja anda berada,” kata komander Pengawal Revolusi, Mejar Jeneral Hossein Salami pada majlis pengebumian mangsa di pusat agama Imam Ali Kerman.
Presiden Ebrahim Raisi berkata dalam ucapan di televisyen sebelum ini pula menegaskan pihak berkuasa negara itu akan memutuskan tempat dan masa untuk mengambil tindakan.
Pada 2022, ISIS mengaku bertanggungjawab atas serangan ke atas sebuah pusat ibadah di Iran yang membunuh 15 orang, manakala serangan terdahulu yang didakwa olehnya termasuk pengeboman berkembar pada 2017 yang menyasarkan parlimen Iran dan makam pengasas Republik Islam itu, Ayatollah Ruhollah Khomeini. – HARAKAHDAILY 6/1/2024