Tindakan tegas tanpa kompromi pihak lindungi PATI

- Advertisement -

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Kelantan berjaya menahan seramai 238 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melalui Ops Kutip yang dijalankan di sekitar Kota Bharu, hari ini.

- Advertisement -

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Pengurusan) Nik Akhtarhaq Nik Abdul Rahman berkata, kesemua mereka yang ditahan itu dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Melalui Ops Kutip yang dijalankan Jabatan Imigresen bersama dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seramai 238 warga asing.

“Dalam operasi itu Jabatan Imegresen menahan 3 lelaki warga Pakistan, 3 lelaki warga India, 5 lelaki dan 1 wanita warga Thailand, 13 lelaki warga Nepal, 14 lelaki dan 1 wanita warga Indonesia, 115 lelaki dan 3 wanita serta 4 kanak-kanak warga Myanmar dan 76 lelaki warga Bangladesh.

“Bertindak atas hasil risikan dari Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Imigresen telah membuat pemeriksaan terhadap warga asing di sekitar bandar Kota Bharu,” katanya selepas operasi tersebut.

Justeru itu Jabatan Imigresen Malaysia menggesa supaya orang ramai tampil menyalurkan maklumat tentang Pendatang Asing Tanpa Izin atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara dan bersubahat dalam melindungi PATI,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/1/2024

- Advertisement -