Raja Muda gesa tingkat kualiti pelancongan

- Advertisement -

PADANG BESAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail memimpin inisiatif besar dalam usaha meningkatkan sektor pelancongan di negeri ini sempena Kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

- Advertisement -

Baginda menekankan perlunya meningkatkan kualiti sektor pelancongan Perlis untuk setanding dengan destinasi popular di dalam dan luar negara.

“Setiap pemain industri pelancongan di Perlis perlu bersaing secara individu untuk meningkatkan penanda aras masing-masing,’ titah baginda.

Baginda yang turut menyertai program berbasikal mengunjungi dan menyantuni tiga orang asnaf terpilih di rumah masing-masing.

Mereka ialah Jamaluddin Jusoh, 65, Fasariyah Khalid, 63, dan Rusni Ismail, 56.

Program Berbasikal berkenaan merupakan anjuran Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs) Peduli bilangan pertama tahun 2024 di sekitar Beseri, di sini hari ini.

Sesi kayuhan sejauh 20 kilometer dihadiri oleh ketua-ketua jabatan, agensi, dan perwakilan swasta, termasuk anakanda bongsu baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Dalam pada itu baginda turut meluangkan masa melawat Jeti Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Negeri di Empangan Timah Tasoh.

Baginda diberi taklimat berkaitan oleh Timbalan Pengarah JPS Perlis, Ir Mohd Anuar Abdul Nasir.

Empangan Timah Tasoh, yang terhasil dari pertembungan Sungai Timah dan Sungai Tasoh, disenaraikan sebagai destinasi menarik dalam Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Dataran Timah Tasoh, Santuari Ikan Air Tawar dan Tasoh Lake Resort adalah antara tarikan yang telah memikat perhatian pelancong.

Pihak JPS turut memohon peruntukan di bawah Kementerian Pelancongan untuk meningkatkan kemudahan-kemudahan baru bagi pelancong di sekitar empangan tersebut, termasuk aktiviti seperti bot cruising, kayak, perahu layar HerMission House, memancing, bird watching, dan aktiviti rekreasi air lain. – HARAKAHDAILY 5/1/2024

- Advertisement -