PADU elak diakses pihak lain

Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyokong usaha Kerajaan Persekutuan menjayakan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) ke arah digitalisasi dan penghasilan analitik yang tepat.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud turut hadir pada majlis pelancaran PADU Selasa lepas.

Katanya, kerajaan negeri akan menyelaraskan pelaksanaan PADU dengan Kerajaan Persekutuan.

“Kita akan bekerjasaam dengan kerajaan Persekutuan. Sekarang orang ramai bercakap berkaitan digital dan kita tidak mahu ketinggalan.

“Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan. Kita sokong cuma kita tengok ada isu berbangkit berhubung beberapa kelemahan yang dibangkit beberapa pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu dan Perhimpunan Penjawat Awam 2024 di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Perasmian program itu disempurnakan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Pada 2 Januari lepas kerajaan mengumumkan pelancaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) 2024.

PADU merupakan pangkalan data utama negara yang selamat dan komprehensif ke arah digitalisasi dan penghasilan analitik yang tepat.

Mohamed Fadzli berkata, data peribadi penting dan mesti dijaga dengan baik bagi mengelak ia dari diakses pihak lain.

“Jika betul data mudah diceroboh tidak bermakna kita batal (sistem) cuma kita kena atasi sebab data peribadi ini penting dan mesti dijaga. Data peribadi ini sudah berbangkit di Selangor dan ia sensitif.

“Kita minta jika ada kelemahan atasi segera kerana yang mahu dibuat itu sesuatu yang baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/1/2024

- Advertisement -