Kelantan lancar Pelan Tindakan Ekonomi Digital

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri membuat perancangan strategik seiring kemajuan teknologi dengan melancar Pelan Tindakan Ekonomi Digital Kelantan 2033.

- Advertisement -

Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin berkata, langkah itu bagi mengatasi kekurangan dalam usaha memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Katanya Pelan Tindakan Ekonomi Digital dilancar kerana kerajaan menyedari senario dan cabaran serta trend semasa memerlukan perubahan cara dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Selain itu usaha kolektif diperlukan sejajar dengan tawaran manifesto yang dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri ke-15 serta sebagai kesinambungan Pelan Induk Pembangunan Mampan.

“Kita memerlukan usaha kolektif bukan sahaja untuk mengatasi isu-isu rakyat, bahkan juga isu-isu rantaian yang memerlukan penyelesaian secara strategik semua pihak.

“Kita perlu berubah dan pantas menyesuaikan diri dengan perubahan semasa agar terus kekal relevan.

“Contohnya dalam sektor pertanian, kita kurang menggunakan teknologi bagi penghasilan sumber makanan ternakan alternatif,” katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2024 di Kota Darulnaim hari ini.

Menurutnya juga kurang penggunaan platform digital bersepadu antara agensi dan usahawan yang menghasilkan produk.

Selain itu kata beliau kurang penggunaan teknologi digital dalam penyampaian sistem perkhidmatan kerajaan dalam tadbir urus berkaitan hal ehwal pertanian.

Oleh itu beliau berkata, menerusi Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancar kerajaan Persekutuan dijangka dapat menjimatkan kos sebanyak RM4 bilion setahun penggunaan tenaga elektrik.

“Ini kerana apabila data yang dianalisis menerusi PADU dapat mengenal pasti profail rakyat bagi membolehkan subsidi kerajaan disasar kepada rakyat yang benar-benar layak,” ujarnya.

Katanya juga matlamat Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri selaras dengan apa yang hendak dicapai Program Pangkalan Data Utama Kerajaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 4/1/2024

- Advertisement -