Serangan Israel di Beirut: Membunuh 7 pimpinan dan aktivis HAMAS

- Advertisement -

BANDARAYA Beirut semalam bergegar dengan dentuman dan letupan akibat serangan Israel ke atas sebuah bangunan yang terdapat di dalamnya pejabat operasi Pergerakan Kebangkitan Islam (HAMAS). 

Serangan berkenaan sekali gus menyebabkan kematian 7 orang pejuang HAMAS termasuk pimpinan mereka.

HAMAS dalam kenyataannya petang Selasa 2 Januari 2024 mengumumkan bahawa Timbalan Ketua Biro Politiknya, Syeikh Salih Al ‘Aruri terbunuh syahid dalam serangan berkenaan.  Beliau juga adalah ketua pergerakan berkenaan di Tebing Barat.

Turut terbunuh ialah dua orang pemimpin sayap tentera HAMAS, Kataib Al Qassam iaitu Samir Fandi Abu Amir dan Azzam Al Aqra’ Abu Ammar.

Aktivis HAMAS lain yang terbunuh syahid ialah Mahmud Zaki Syahin, Muhammad Basyasyah, Muhammad Ar Ris dan Ahmad Hamud. 

Kenyataan rasmi HAMAS itu antara lain menyebut, “Kami menegaskan bahawa tindakan penjajah Zionis membunuh pejuang besar Syeikh Salih Al ‘Aruri dan rakan-rakan seperjuangannya di bumi Lubnan adalah tindakan ganas Israel. Ia satu pencerobohan terhadap kedaulatan negara Lubnan. Kekejaman mereka semakin meluas terhadap bangsa dan umat ini. Tidak terhad hanya kepada Gaza dan Tebing Barat semata.”

“Sesungguhnya darah suci Syeikh Salih Al ‘Aruri kini bersatu dengan darah ribuan syuhada’ di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat serta di tempat-tempat lain dalam peperangan Tufan Al Aqsa ini dalam perjuangan membebaskan Palestin dan Masjidil Aqsa.” 

Dalam pada itu anggota Biro Politik HAMAS, Izzat Rasyaq berkata, “Kami yakin pembunuhan ini tidak akan memadamkan semangat juang dan tidak akan menghentikan penentangan rakyat Palestin terhadap musuh yang ganas.” 

ARIS HAZLAN ISMAIL – HARAKAHDAILY 3/1/2024  

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -