ARAU: Pekan Lama di Arau kembali hidup apabila Arauberry Flea Market menjadi daya tarikan baharu ke negeri ini.
Menurut Pengerusi Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Wan Badariah Wan Saad, Arauberry Flea Market merupakan yang pertama di Perlis berkonsep pelbagai tema dua kali sebulan.
“Pekan Lama di Arau akan kembali hidup dengan adanya ruangan acara serta mengumpulkan para vendor dan peniaga makanan, minuman, pencuci mulut, kraftangan, pakaian, barangan terpakai dan bermacam lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya lagi, kelainan yang ditampilkan bukan sahaja mampu menghidupkan Pekan Lama Arau malah menawarkan tarikan baharu buat pengunjung dalam dan luar negeri.
Malah tambahnya, dengan penglibatan pelbagai vendor yang dikumpulkan secara tidak langsung memberi lebih pilihan buat pengunjung.
Sebelum ini Arauberry Flea Market telah menganjurkan acara penampilan Sarong Culture, bertemakan ala pendekar zaman dahulu.
Sementara untuk kali keduanya menampilkan tema Safari, Indiana Jones dan Jumamnji.
Dalam pada itu, pemiliknya,Mohd. Fakhruddin Abd Latif berkata, Arauberry Flea Market berkonsepkan ruangan acara pertama di negeri itu dan mendapat sambutan yang baik setiap kali penganjurannya.
“Bagi acara pertama yang membabitkan tema Sarong Culture ia mendapat sokongan cukup baik apabila peniaga dan pengunjung memperagakan pakaian berkonsepkan tema dan menjadikan suasana di Arauberry sangat menarik dan mengujakan.
“Sambutan yang diterima juga sangat memberangsangkan dengan tiga hari penganjuran mencatatkan anggaran kehadiran antara 5,000 sehingga 6,000 orang,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/1/2024