Lebih 20 sekolah luar Kelantan guna kurikulum Yik

Wan Roslan Wan Hamat
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kejayaan Yayasan Islam Kelantan (Yik) yang diwujudkan kerajaan PAS pada 1973 tidak dapat dinafikan lagi apabila kurikulumnya turut digunapakai di beberapa negara.

- Advertisement -

Antaranya sebuah sekolah agama di Kempuchea menggunakan sukatan pelajaran dan kertas peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) Yik bagi membolehkan pelajarnya melanjut pelajar ke Mesir.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, pegawai-pegawai Yik pernah memberi kursus kepada guru-guru di sekolah agama di Kempuchea pada tahun 2004.

“Saya pun terlibat mengendalikan kursus itu ketika bertugas sebagai Yik. Seramai 100 guru di Kempuchea terbabit dalam kursus tersebut.

“Sebelum ini ada sekolah agama di Singapura juga menggunakan kurikulum Yik. Dan terbaharu kerajaan Sabah akan menghantar seramai 20 pelajar
belajar di sekolah agama Yik di Kelantan,” katanya di sini.

Menurutnya pelajar terbabit akan belajar di tingkat satu ditaja Yayasan Sabah sepanjang pembelajaran di sekolah agama di bawah Yik.

Kata beliau sebelum ada ibu bapa dari Sabah yang menghantar anak mereka belajar di sekolah agama Yik secara persendirian.

“Yik mengadakan MoU dengan kerajaan Sabah untuk menghantar 20 pelajar setahun belajar di sekolah agama Yik yang bermula sesi baharu 2024,” katanya.

Kata beliau sehingga sekarang lebih 20 sekolah agama di luar Kelantan menggunakan sukatan pelajaran Yik.

Wan Roslan juga berkata, Yik turut terbabit penubuhan Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuwan Selangor (KITTIS) di Sungai Besar menggunakan kurikulum Maahad Tahfiz Sains.

Kata beliau usaha itu dirintis bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sehingga berjaya menubuh KITTIS.

Menurutnya pada peringkat awal Yik memberi pinjam seorang guru tahfiz al Quran mengajar di sekolah terbabit selama tiga tahun.

“Guru tahfiz berkenaan berjaya menghasilkan manual pengurusan tahfiz dan tahfiz sains. Inilah kejayaan kita bukan setakat di peringkat negeri bahkan peringkat negara.

“KITTIS juga berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang dalam aliran tahfiz sains,” katanya.

Beliau juga berkata, Pasentran Abdul Taib Mahmud di Sarawak juga pernah menggunakan sukatan pelajar dan kertas peperiksaan dikendalikan Yik. – HARAKAHDAILY 3/1/2024

- Advertisement -