Masalah jalan raya K Krai-Gua Musang mesti segera diatasi

- Advertisement -

SAYA memandang serius di atas permasalahan yang berlaku kepada pengguna jalan raya Kuala Krai – Gua Musang (FT008).

Berdasarkan taklimat yang diberikan maka kami dapati terdapat 2 punca utama jalan raya rosak di Gua Musang iaitu disebabkan hujan yang berterusan menyebabkan jalan rosak (Potholes) di sepanjang jalan Paloh, jalan Lencongan sementara Bandar Gua Musang dan peningkatan penggunaan jalan raya akibat musim cuti dan perayaan.

Saya percaya usaha berterusan sudah dijalankan oleh pihak JKR dan kontraktor yang berwajib untuk mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya. 

Namun perlu diperkasakan lagi usaha pemantauan oleh pihak JKR Gua Musang bagi menambah pasukan rondaan untuk mengenal pasti jalan yang patut dibaiki dalam kadar segera. 

Kemudian meletakkan papan tanda amaran supaya pengguna sentiasa berhati-hati apabila melalui kawasan jalan rosak dan berlubang. 

Perlu diingatkan juga, episod hujan belum berakhir, justeru pihak JKR dan konsesi harus membuat persediaan awal untuk berdepan dengan sebarang risiko jalan rosak apabila berhadapan dengan musim tengkujuh.

Saya juga ingin menasihati kepada semua pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati apabila menggunakan jalan raya dalam musim tengkujuh ini, kerana banyak risiko yang tidak dijangka seperti jalan rosak dan licin. 

Oleh itu pengguna jalan raya haruslah mematuhi kadar had laju yang ditetapkan dan sentiasa menjaga jarak.

Harapan saya supaya pihak yang berwajib  menyegerakan tampalan kekal atau menurap baru jalan-jalan yang rosak setelah cuaca kembali baik. 

Terima kasih diucapkan kepada pihak yang terlibat dalam usaha menyelesaikan masalah ini. 

DATO’ DR IZANI HUSIN
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 2/1/2024 

- Advertisement -
- Advertisement -