Isu semasa: Panas atau sejuk di tangan anda

- Advertisement -

HARI ini terdapat banyak isu yang berlegar-legar. Ada yang panas dan ada yang dingin. Ada yang bertahan lama dan ada yang seperti buih-buih minuman ringan yang akhirnya lenyap. Kadang-kala isu besar, isu serius pun tidak mendapat perhatian dan boleh lenyap dalam sekelip mata. Tetapi kadang-kala isu remeh boleh menjadi buah mulut masyarakat dan dapat bertahan lama.

Tetapi apa sebenarnya yang menjadikan sesuatu isu itu panas? Sebenarnya panas atau dingin bergantung kepada kita. Apabila terdapat satu isu dan pimpinan membuat kenyataan atau memberi ulasan, akar umbi turut mempunyai tugas dan tanggungjawab. Bukan sekadar mendengar atau membaca sahaja. Jangan biarkan pimpinan bercakap bersendirian.

Paling kurang yang boleh dilakukan adalah menyebarkan berita atau maklumat melalui media sosial. Menyebarkannya seluas mungkin. Terutamanya kepada mereka yang belum lagi yakin. Justeru bagi mereka yang berada di dalam group media sosial, jangan hanya berada di dalam group yang terdiri dari penyokong-penyokong sahaja. Tetapi sertai group-group yang terdiri dari mereka dari pelbagai pendirian dan pelbagai aliran. Hantar juga mesej peribadi kepada mereka yang belum lagi yakin.

Tetapi jangan pula menyebarkan berita atau maklumat yang anda tidak pasti. Terdapat mereka yang menghantar berita atau maklumat yang mencurigakan ke dalam group atau kepada kawan-kawan. Tujuan mereka adalah ikhlas untuk mendapatkan penjelasan. Tetapi secara tidak langsung mereka telah menyebarkan propaganda atau provokasi musuh secara percuma.

Selain dari menghantar mesej atau maklumat, anda juga boleh berkongsi di dalam akaun media sosial anda. Capaian untuk posting media sosial walaupun untuk rakyat biasa mungkin boleh melebihi bilangan yang mendengar di ceramah umum. Anda juga boleh berkongsi (share) atau repost posting-posting pimpinan atau posting-posting lain yang sesuai.

Sudah tentu kesemua ini akan memanaskan sesuatu isu. Tetapi bukan setakat itu sahaja tetapi ‘like’ atau komen. Komen-komen yang menyokong atau yang menjawab tuduhan amat diperlukan. Kadang-kala pimpinan kita seolah-olah keseorangan apabila posting mereka diserang bertubi-tubi kali dan tidak ada yang membela. Walaupun satu ayat, sokongan anda amat bernilai.

Laporan polis juga membantu. Ia juga dapat menyerlahkan sesuatu isu di samping memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan. Tetapi walaupun tiada tindakan diambil namun sekurang-kurangya isu itu tidak akan mati begitu sahaja kerana telah mendapat liputan. Ia juga satu penegasan betapa serius sesuatu isu itu.

Baru-baru ini terdapat beberapa isu besar seperti isu campur tangan orang bukan-Islam di dalam hal ehwal agama Islam. Satu lagi isu adalah gesaan agar dimulakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan di Kuala Lumpur di mana terdapat pandangan yang bimbang ia boleh mengganggu keharmonian kaum. Pimpinan telah menyatakan pandangan tetapi alangkah baik sekiranya banyak laporan polis dibuat berkaitan dua isu ini.

Ia tidak semestinya oleh organisasi parti tetapi boleh juga oleh individu atau sekumpulan individu yang prihatin. Bayangkan suasana yang diwujudkan jika puluhan malah ratusan laporan dibuat di seluruh negara. Laporan-laporan tersebut akan memaksa mereka yang membuat kenyataan yang  penuh kontroversi itu berfikir dua kali.

Mungkin dengan adanya media sosial ada yang merasakan tidak perlu lagi membuat laporan polis. Sudah memadai dengan posting-posting. Tetapi menulis posting atau mencipta ‘content’ untuk video perlu ada isi atau ‘story’. Posting atau video ini perlu dipelbagaikan atau memiliki nilai tambah untuk menarik perhatian masyarakat. Sudah tentu laporan-laporan polis ini dapat membantu.

‘Flash mob’ juga banyak membantu usaha untuk menyerlahkan sesuatu isu. Walaupun ia hanya disertai oleh beberapa puluh individu dan tempohnya singkat namun jika lokasi dan masa dianjurkan adalah strategik, ia dapat menarik minat masyarakat. Ia berupaya menghidupkan sesuatu isu selain dari memanjangkan jangkahayatnya.

‘Content’ yang dapat dicipta dengan ‘flash mob’ lebih menarik dari kenyataan-kenyataan atau ucapan-ucapan. Kadang-kala amat menakjubkan kesan 15 hingga 20 orang berdiri di tepi jalan utama dengan sepanduk. Apa yang diperlukan adalah hanya seorang pencipta ‘content’ yang kreatif.

Kesimpulannya panas atau dingin sesuatu isu itu adalah di tangan kita semua. Walaupun anda di peringkat akar umbi, sama ada berjawatan atau tidak, pasti ada sesuatu yang anda boleh lakukan. Jangan hanya merungut atau berpeluk tubuh, anda boleh memanaskan sesuatu isu. Kita berada di dalam era di mana media sosial menguasai pemikiran masyarakat, manfaatkannya dengan berkesan.

DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Bendahari PAS Pusat
2 Januari 2024 – HARAKAHDAILY 2/1/2024 

- Advertisement -
- Advertisement -