Siapa wajib pastikan keselamatan dan kesihatan tempat kerja?

- Advertisement -

TERBARU ada tular di media sosial berkaitan kemalangan maut seorang pekerja yang terjatuh dari tempat tinggi. Kes ini berlaku di sebuah syarikat di Banting Selangor. Kes ini menjadi tular apabila berlaku ketidakpuasan hati di kalangan pekerja. Apakah punca sebenarnya? Itu kita serahkan kepada pihak berwajib untuk menyiasatnya. Pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) juga telah mengeluarkan liputan media massa pada 29 Disember 2023.

Persoalan yang ingin saya bangkitkan di sini ialah siapakah berkewajipan memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja? Merujuk kepada falsafah Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP), kewajipan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja adalah terletak pada mereka yang mewujudkan risiko dan mereka yang bekerja dengan risiko tersebut.

Siapakah yang dimaksudkan dengan mereka yang mewujudkan risiko? Sudah pasti mereka yang memberi dan mengarahkan sesuatu tugasan kerja kepada kita iaitu pihak majikan. Manakala siapakah mereka yang bekerja dengan risiko? Sudah pasti pekerja yang melaksanakan tugasan tersebut. Di sini jelas bahawa kewajipan memastikan keselamatan dan kesihatan terletak kepada kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja.

Jika kedua-dua pihak ini memahami tugasan dan kewajipan masing-masing, maka insya-Allah kita dapat mencegah kemalangan daripada berlaku. Kewajipan ini juga telah diperuntukkan di dalam AKKP 1994 (Akta 514) di bawah Seksyen 15 dan Seksyen 24. 

Di bawah pindaan AKKP juga terdapat seksyen 26A berkaitan hak pekerja. Iaitu 26A (1) ada menyatakan:

 “Seseorang pekerja, selepas memberitahu majikannya atau wakilnya yang dia mempunyai justifikasi yang munasabah untuk mempercayai terdapat suatu bahaya hampir pasti berlaku di tempat kerjanya, hendaklah mempunyai hak untuk mengeluarkan dirinya daripada bahaya atau kerja itu jika majikan itu gagal untuk mengambil apa-apa tindakan untuk menghapuskan bahaya itu.” 

Bagi majikan pula hendaklah membuat analisis risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan agar dapat mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja. Jika pekerja dan majikan dapat memperbaiki peranan masing-masing, suasana yang lebih selamat dan sihat dapat diwujudkan di tempat kerja.

Falsafah AKKP ini  juga selaras dengan kehendak Islam itu sendiri, sebagaimana Nabi Muhammad S.A.W ada bersabda:

- Advertisement -


“Laa dharara wa laa dhirara” 

(Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain)

(Hadis Riwayat Sa’d bin Malik)


Nabi mengajar kita agar tidak melakukan perbuatan atau pekerjaan yang boleh memudaratkan kepada diri kita serta juga ia memudaratkan orang lain. Ini jelas bahawa Nabi S.A.W meminta kita melaksanakan sesuatu pekerjaan atau tugasan dengan selamat dan sihat.

Oleh:
Ts. SHAHRONIZAM NOORDIN
Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan – HARAKAHDAILY 30/12/2023 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -