2024: Sambut dengan keinsafan terhadap rakyat Palestin

Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib menyeru rakyat Malaysia agar melahirkan rasa simpati dan insaf situasi berlaku di Palestin.

- Advertisement -

Katanya, situasi itu dijadikan salah satu iktibar yang perlu diterapkan dalam jiwa oleh orang Islam dan bersyukur pula dengan keadaan aman dan selamat yang dinikmati di negara ini.

Sehubungan itu, ujarnya menjelang tahun 2024, lebih baik sekiranya tiada perayaan mahupun sambutan dibuat oleh mana-mana organisasi atau individu sempena ketibaan tahun baru itu dengan aktiviti yang melalaikan.

Beliau menyatakan demikian merujuk kepada berita hari ini mengenai situasi di Palestin apabila tentera Israel terus memperhebatkan serangan darat di kawasan tengah dan selatan Semenanjung Gaza yang padat dengan puluhan ribu rakyat Palestin selepas kehilangan tempat tinggal akibat perang sejak 7 Oktober lalu.

Selain itu, tiga rakyat Palestin terbunuh dan enam cedera dalam serangan peluru berpandu Israel ke atas rumah yang terletak di kem pelarian Maghazi di tengah Gaza, menurut sumber Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.

“Pandangan saya, program sambutan atau keraian dalam bentuk hiburan melalaikan adalah tidak wajar diadakan pada ketika ini demi mengambil kira sensitiviti saudara-mara kita di Palestin yang masih lagi dizalimi oleh rejim zionis pada setiap masa,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, sambutan tahun baharu ini boleh digantikan dengan solat hajat mahupun doa agar penderitaan mereka dapat dikurangkan.

“Sewajarnya kedatangan tahun baru boleh diisi dengan merancang secara teliti bagaimana kita selaku rakyat Malaysia terlibat sekali dalam usaha pembangunan semula Palestin,” katanya.

Katanya lagi, keutamaan yang menjadi tumpuan pihak berkuasa Palestin selepas gencatan senjata dilakukan adalah usaha secara bersepadu membangunkan semula sistem dan fasiliti kesihatan, pendidikan mahupun sektor ekonomi.

Menurutnya, sudah tiba masanya rakyat beragama Islam di Malaysia berusaha melibatkan diri dalam membantu Palestin.

“Jika tidak mampu terlibat secara langsung, hulurkanlah wang dan barangan bantuan yang relevan untuk membantu mereka.

“Semoga ianya menjadi salah satu faktor untuk kita mendapat tiket ke syurga Allah Taala,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/12/2023

- Advertisement -