Muhasabah diri mengenai kita

- Advertisement -

MANUSIA ini, hidup penuh dengan keluh kesah seperti dalam firman Allah yang bermaksud:

- Advertisement -

Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah…”

“Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah”

“Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut”

“Kecuali orang-orang yang mengerjakan solat”

(Al-Ma’arij : 19 – 21)

Inilah tabiat manusia, mudah putus asa, marah-marah, tidak sabar tetapi apabila mendapat kesenangan, kedekut. Inilah manusia-manusia yang perlu dimuhasabahkan dan diperbaiki, kecuali orang yang rajin solat , orang yang rajin sedekah dan orang yang yakin dengan kehidupan akhirat. Mereka inilah orang yang ingat Allah S.W.T dan sentiasa bersyukur dengan nikmat-nikmat yang Allah S.W.T berikan.

Ibrahim bin Adham pernah bertanya kepada muridnya, “Cuba bagitahu aku, bagaimana kamu menghadapi kehidupan ini? Kata muridnya, “Bagi aku, kalau aku mendapat rezeki, aku bersyukur. Kalau aku tidak mendapat rezeki, aku bersabar.””

Apa kata gurunya? “Anjing-anjing di kampungku, begitulah sikapnya.” Murid-murad serasa ditampar oleh gurunya, seolah-olah telah disamakan dengan anjing. Lalu murid terus bertanya kembali gurunya, “Lalu kalau engkau, bagaimana? Gurunya menjawab, “Aku kalau mendapat rezeki, aku berbahagi-bahagi dengan orang lain, tetapi kalau aku tidak mendapat rezeki, aku bersyukur kepada Allah S.W.T.” 

Jadi hidup seorang hamba itu, sentiasa bersyukur kepada Allah S.W.T dalam apa jua keadaan, kerana nikmat Allah S.W.T itu bukan sahaja harta dan wang Ringgit tetapi seluruh yang kita ada yang Allah S.W.T berikan, tangan, kaki, mata, telinga, aqal dan semuanya. Jadi amalkanlah doa yang telah diajarkan oleh Nabi S.A.W agar sentiasa diberi kekuatan untuk sentiasa berzikir, bersyukur, taat dan melakukan ibadah terbaik untuk Allah S.W.T dan bukan asal buat sama ada dalam solat, puasa dan lain-lain:

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

“Ya Allah, bantu aku untuk mengingat Mu, bersyukur kepada Mu, dan beribadah dengan terbaik kepada-Mu.”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Jangan sampai keletihan dan kepenatan kita dalam melaksanakan ibadah kepada Allah S.W.T tidak dapat dijadikan bekal terbaik untuk akhirat kita, tetapi sebaliknya, menjadi asbab kita dimasukkan ke neraka. Kenapa? Kerana ibadah yang dilakukannya asal buat tanpa ilmu. Ingat peringatan Allah S.W.T dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal hari kiamat.”

“Wajah (orang-orang yang masuk neraka) penuh dengan kelesuan dan kehinaan.”

“Mereka menjalankan kerja atau beramal dengan penat Lelah sepanjang hidupnya.”

“Mereka tetap menderita bakaran neraka yang amat panas (membakar).”

(Al-Ghashiya: 1-4)

Lihatlah mereka penghuni neraka itu, sepanjang hidup beramal dan bekerja, akhirnya ke neraka jua. Kenapa? Kerana apa yang mereka buat atau amalnya tidak baik. Jadi wajib melakukan ibadah yang baik. Apa syaratnya:

1. Berilmu.
2. Ikhlas.
3. Sesuai dengan ajaran atau syariat Rasulullah S.A.W.

Dengar juga apa doa Nabi Ibrahim ketika mendirikan Kaabah bersama anaknya Nabi Ismail yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(al-Baqarah: 127)

Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail adalah kedua-duanya nabi dan sedang membina Kaabah pula, tetapi masih ada kekhuatiran di hatinya, takut-takut amalannya tidak diterima. Jadi kita siapa? kalau enggan untuk berdoa kepada Allah S.W.T agar semua amal kita diterima Allah S.W.T dan memohon Allah S.W.T, tunjukkan kita cara-cara kita beribadah yang betul.

Tips beberapa amalan yang menyebabkan pahala kita hilang dan solusinya

Rasulullah S.A.W, seorang murabbi ummah, guru teladan yang telah mendidik para Sahabatnya dengan cara terbaik dan luar biasa, pernah bertanya kepada para Sahabatnya:

Dalam satu Hadis Abu Hurairah, Rasulullah S.A.W pernah bertanyakan kepada Sahabat yang bermaksud: “Tahukah kamu semua, siapakah orang-orang yang muflis?”

Lalu Sahabat menjawab: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah mereka yang tidak memiliki wang dan juga harta.”

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka yang muflis dalam kalangan umat aku ialah mereka yang datang pada hari kiamat kelak membawa pahala daripada solat, puasa dan zakatnya. Namun pada masa yang sama dia juga membawa dosa memaki-hamun sesama manusia, dosa menuduh seseorang dengan tuduhan yang jahat, dosa memakan harta orang lain dengan zalim, dosa menumpahkan darah sesama manusia, dosa memukul atau mencederakan sesama manusia.

“Maka diberikan pahalanya kepada mereka yang dizaliminya ketika di dunia dahulu. Jika habis pahalanya sedangkan belum selesai tuntutan manusia ke atasnya, maka diambil dosa manusia itu lalu ditanggung ke atasnya dan akhirnya dia dihumban ke dalam api neraka.” (Hadis Riwayat Muslim)

Jadi semua kezaliman yang telah dilakukan semasa di dunia ini akan dirasakan azabnya di akhirat nanti, masing-masing mereka yang dibuli, dibunuh, dimaki, difitnah, dizinai, dirompak harta bendanya dan 1,001 macam lagi kezaliman yang kecil dan besar, semuanya akan dituntut di akhirat kelak sehingga orang yang melakukan kezaliman itu jatuh muflis, hilang semua pahala. Apa lagi yang harus diberikan kepada yang masih menuntut? Yang pastinya, para muflis akan mengambil dosa-dosa orang-orang yang menuntut itu pula dan akhirnya dilemparkan ke neraka. MasyaAllah!

Jadi berhati-hatilah! Jangan berbuat zalim kepada orang lain walaupun sedikit sahaja. Lihat firman Allah S.W.T yang lain ini yang bermaksud:

“Maka sesiapa berbuat kebajikan (amal soleh) seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”

“Dan sesiapa berbuat kejahatan (dosa) seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”

(Al-Zalzalah: 7-8)

Jadi, jadilah kita manusia yang berhati-hati dalam beramal, jangan kita sibuk beramal tetapi lupa  menjaga amalan kita, akhirnya semua pahalanya diberikan kepada orang lain. 

Dan khusus bagi semua perempuan, dengarkan Hadis Abu Hurairah ini:

Di dalam Hadis daripada Abu Hurairah R.A berkata yang bermaksud:

“Telah berkata seorang lelaki kepada Rasulullah S.A.W: “Wahai Rasulullah S.A.W, sesungguhnya wanita ini terkenal dengan banyaknya solat (solat malam), berpuasa (puasa sunat) dan bersedekah tetapi dia sentiasa menyakiti jirannya dengan lidahnya.” Lalu Nabi S.A.W bersabda: “Dia akan masuk ke dalam neraka.””

 (Hadis Riwayat Ahmad no 9675)

Jadi mana solat malamnya? Mana puasa sunatnya? Mana sedekahnya?, semua itu, akan diberikannya kepada mereka-mereka yang pernah disakitinya atau dilukakan hatinya tambahan pula mereka itu jiran tetangganya. Sepatutnya sesama jiran mesti saling menghormati, prihatin, saling memberi, memuliakan dan tolong menolong kepada kebaikan.

Dan lihat pula Hadis yang lain Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Dari Abu Hurairah R.A, ia berkata, ‘Dikatakan kepada Rasulullah S.A.W: ‘Wahai Rasulullah S.A.W, wanita ini selalu solat malam dan puasa di siang harinya. akan tetapi, dia sering mencela tetangganya.’ Rasulullah S.A.W bersabda: ‘Dia tidak baik, dia masuk neraka.’ Disebutkan kepada Rasulullah S.A.W bahawa wanita ini pula hanya melaksanakan solat wajib, puasa Ramadhan, dan bersedekah hanya secubit keju. Akan tetapi dia tidak pernah menyakiti tetangganya.’ Rasulullah S.A.W bersabda: ‘Dia masuk syurga.’”

(Hadis Riwayat al-Hakim)

Jadi, muhasabahlah. Apakah kita ada masalah dengan jiran tetangga kita, sahabat-sahabat kita atau sesiapa sahaja di sekeliling kita?  Minta maaf hari ini juga, kalau ada kita berbuat silap. Contohnya dulu-dulu kita pernah makan tapi tak bayar. Kalau perlu datangi mereka, maka pergi berjumpa mereka, bayar dan minta dihalalkan. Dan apa-apa sahaja kesalahan, mintalah maaf semasa hidup ini kerana, apabila sudah mati nanti, semuanya sudah terlambat dan yang tinggal cuma penyesalan.

Ingatlah syarat-syarat taubat itu ada 4:

1. Meninggalkan maksiat. 
2. Menyesal melakukan maksiat.
3. Bertekad tidak kembali melakukannya buat selama-lamanya.
4. Jika dosa yang dilakukan berkaitan dengan orang lain, syaratnya ia wajib membebaskan dirinya dari hak yang bukan miliknya untuk dikembalikan kepada yang berhak atau minta dihalalkan, ini bererti jika berupa harta benda wajib dikembalikan. Jika berupa fitnah, ghibah (umpatan), penghinaan, cacian, kutukan, laknat dan kezaliman, maka wajib meminta maaf daripada orang tersebut terutama terhadap kezaliman yang dilakukan kepadanya.

Rasulullah S.A.W telah mengingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud:

“Abu Hurairah berkata, telah bersabda Rasulullah S.A.W: ‘Barang siapa pernah melakukan kezaliman terhadap saudaranya, baik menyangkut kehormatannya atau sesuatu yang lain, maka hendaklah ia minta dihalalkan darinya hari ini, sebelum dinar dan dirham tidak berguna lagi (hari kiamat).

“(Kelak) jika dia memiliki amal saleh, akan diambil darinya seukuran kezalimannya.

“Dan jika dia tidak mempunyai kebaikan (lagi), akan diambil dari keburukan saudara (yang dizalimi) kemudian dibebankan kepadanya,”

 (Hadis Riwayat Bukhari)

Tetapi yang paling berat di ketika isteri kita sendiri yang menuntut haknya dia akhirat nanti. 

Ammar bin Qais, tabit tabien telah menyatakan, “Kelak di hari kiamat akan ada seorang wanita yang menggugat suaminya, Wahai Tuhan, ini suamiku. Yang tidak pernah mengajarku, tak pernah mendidikku, tak pernah mengenalkanku kepada-Mu ya Allah, kerjanya cuma bawa roti dari pasar.” 

Para suami diperintahkan untuk meluangkan masa mendidik dan mengajarkan perkara-perkara yang penting dalam agama kepada isteri-isterinya mengikut kemampuannya. Jangan sampai melalaikannya, kerana suami wajib menjaga isteri dan ahli keluarganya dari api neraka dengan iman dan amal soleh. Sedangkan amal soleh itu mesti didasari dengan bekalan ilmu dan pengetahuan.

Maka, dengarlah ingatan Allah buat kita semua dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

(At-Tahrim: 6)

Dan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: 

“Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan bersih melainkan dua orang tuanya yang bertanggungjawab mencorakkannya menjadikan Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”

(Hadis Riwayat Imam Baihaqi dan Muslim)

Kesimpulannya:

Ingatlah semua! Dunia ini cuma sementara, berhati-hatilah dan sentiasalah bermuhasabah diri. Sudah sampai di mana kita sekarang?. Hari, bulan dan tahun silih berganti. Dan umur kita pula semakin mendekat ke penamatnya. Kalau masih berpalit dosa, maka bertaubatlah sebab Allah S.W.T hanya akan menerima ke syurga-Nya, manusia yang memiliki hati yang salim (bersih). Dan seterusnya belajarlah agar ilmu itu menyuluh kita ke jalan kebenaran, jalan Tuhan. Jangan sesekali biarkan diri kita terus hanyut dan leka di bawa arus kebinasaan dan kesesatan yang berakhir ke neraka-Nya. Nauzubillahiminzalik, aku berlindung kepada Allah S.W.T daripada perkara tersebut.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Ingatlah! Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun (tidak berguna).”

“Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah S.W.T dengan hati yang salim (sihat).”

(As-Syu’ara : 88-89)

Wallahu’lam

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 30/12/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -