Cadangan Ngeh bukti prasangka DAP terhadap Islam

- Advertisement -

PERNYATAAN Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham, yang menyarankan pelantikan pakar daripada masyarakat bukan-Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam, mencerminkan satu ‘siege mentaliti’.

‘Siege mentality’ yang dimaksudkan ialah tanggapan awal bahawa umat Islam akan melakukan sesuatu yang akan menjejaskan bukan-Islam. Oleh sebab itu, Ngeh mencadangkan agar pandangan orang bukan-Islam diambil kira sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat, walaupun dalam hal menggubal Undang-undang Syariah yang sebenarnya tidak berkaitan langsung dengan bukan-Islam. 

Contoh ini menunjukkan adanya kecenderungan untuk mengandaikan bahawa undang-undang atau perubahan yang diusulkan oleh umat Islam akan menimbulkan implikasi negatif terhadap komuniti bukan-Islam. 

Ini adalah satu bentuk prasangka yang tidak seharusnya ada dalam masyarakat yang berbilang agama dan etnik seperti Malaysia.

Pertanyaannya sekarang, mengapa apabila masyarakat Islam menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan yang dibawa oleh pemimpin DAP sebelum ini, seperti isu Perdana Menteri bukan-Melayu dan pilihan raya majlis tempatan, Perdana Menteri dengan cepat membidas mereka yang membidas DAP sebagai cubaan menakut-nakutkan orang Melayu.

Akan tetapi di dalam soal cadangan Ngeh, Perdana Menteri langsung tidak bersuara untuk membidas Ngeh yang jelas meletakkan orang bukan-Islam di dalam ‘siege mentality’?

MOHD AMAR ABDULLAH
Naib Presiden PAS – HARAKAHDAILY 29/12/2023 

- Advertisement -
- Advertisement -