DAP terus timbul isu divisif dan provokatif undang polemik

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

PAS merakamkan rasa kesal berhubung kecenderungan berterusan pemimpin DAP, khasnya yang berada di luar kerajaan, membuat kenyataan-kenyataan yang bersifat divisif, mengundang polemik tidak perlu, diragui kejujurannya, selain berpotensi besar mencetuskan suasana tidak harmoni dalam masyarakat.

Terbaru ialah cadangan Ahli Parlimen Beruas Dato’ Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar undang-undang dalam kalangan orang bukan Islam bagi membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-undang Islam yang ditubuhkan awal bulan ini.

- Advertisement -

Menurut beliau, langkah itu perlu setelah mendapati tiada orang bukan Islam dilantik ke dalam jawatankuasa tersebut “untuk mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan undang-undang yang memberi kesan kepada kaum dan agama dibuat”.

Beliau juga dilaporkan berkata, “dalam mengharmonikan undang-undang Syariah dan Perlembagaan adalah penting pandangan orang bukan Islam diambil kira supaya hak dan perlindungan yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang bukan Islam serta asas negara kita tidak terjejas”.

Umum mengetahui bahawa keputusan kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa ini adalah bagi menjunjung titah Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), KDYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mengkaji persoalan undang-undang yang berbangkit berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan bersabit kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Dapatan dan syor jawatankuasa ini akan dikemukakan kepada MKI dan kemudiannya kepada Majlis Raja-raja untuk tindakan seterusnya.

Secara khusus jawatankuasa ini ditubuhkan bagi menasihati MKI dan Majlis Raja- raja berhubung isu-isu berkait konflik undang-undang yang melibatkan undang- undang Syariah yang jelas hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

Berdasarkan keadaan itu, PAS mendapati cadangan dan kenyataan Ngeh tersebut adalah bukan sahaja sangat lewah tapi tidak perlu, sementara kebimbangan yang ditimbulkannya itu bukan sahaja pramatang dan provokatif, malah bersifat andaian semata-mata.

PAS sentiasa bersikap terbuka dan percaya bahawa semua pihak harus memberi ruang yang secukupnya kepada jawatankuasa terbabit untuk menjalankan kajian dan libat urusnya berdasarkan terma lantikan yang dibuat tanpa sebarang gangguan atau perbuatan menabur tanggapan dan prasangka negatif terhadap kemampuan dan kompetensinya untuk apa-apa tujuan sekali pun.

PAS turut hairan bagaimana sebagai Ahli Parlimen penyokong kerajaan, Ngeh langsung tidak peka terhadap proses dan prosedur mahu pun berhati-hati dalam kenyataannya yang bercenderungan menimbulkan kontroversi serta konflik, dan ini hanya boleh ditafsirkan sebagai satu lagi siri kegagalan kerajaan dalam mengawal naratif anggotanya sendiri.

Untuk kesekian kalinya PAS juga memberi peringatan bahawa tindakan berterusan begini berpotensi mencetuskan polemik dan ketidakharmonian berpanjangan mengikut garis kaum dan agama dalam masyarakat yang seharusnya dihindari sepenuhnya.

Kita patut insaf dan bersyukur kerana selaras dengan ajaran Islam itu sendiri, sehingga kini masyarakat majoriti di negara ini tidak pernah menimbulkan suasana konfrontasional atau dilihat mencampuri urusan mana-mana ajaran dan amalan agama lain.

Sikap yang sama haruslah bertimbal-balik dan menjadi pegangan serta amalan semua pihak kerana tindakan sebaliknya hanya akan merosakkan keharmonian yang ada dan seterusnya menjadi bom jangka yang boleh memusnahkan semua.

Terima kasih.

TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 29 Disember 2023

- Advertisement -