Nuramrul terima Anugerah Peserta Taman Desa Asnaf

- Advertisement -

KANGAR: Nuramrul Amri Chan, 41, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Peserta Taman Desa Asnaf (TDA) Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Terbaik Tahun 2023.

- Advertisement -

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim, Amri banyak membantu khususnya dalam pengurusan ladang dan kediaman TDA dari pelbagai sudut, termasuk aktivti-aktiviti di taman tersebut.

‘Nuramrul Amri juga memiliki kelebihan sebagai Imam serta bakat dalam pengucapan awam dan pengurusan majlis, beliau juga merupakan salah seorang Pegawai Khas di dalam Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis,” katanya dalam satu kenyataan media MAIPS hari ini.

Penerima Anugerah Peserta TDA itu merupakan peserta TDA Batu Bertangkup terawal sejak bermulanya pembinaan taman tersebut selain sebagai ketua penduduk dan ladang TDA selama 10 tahun.

“Beliau memberikan contoh terbaik di mana isteri beliau juga menjadi ketua kepada kaum wanita di TDA, serta melibatkan diri secara aktif di dalam pelbagai bengkel latihan yang dianjurkan di taman ini.

“Beliau kini merupakan pengusaha kraftangan dan bonsai kelapa,” katanya lagi.

Ujar Nazim lagi, antara kraftangan utama yang diusahakan ialah tanjak Perlis ‘Putra Julang Darjat’, sampin, bengkung dan pelbagai lagi.

Lebih membanggakan tambahnya, Amri mempunyai jenama sendiri iaitu Tok Togok yang difahamkan diambil sempena nama datuk beliau yang juga merupakan seorang berpengaruh di Kuala Perlis suatu ketika dahulu.

“Anak-anak pasangan ini juga begitu menyerlah dalam bidang akademik dan ko-kurikulum di sekolah masing-masing, usaha dan sikap sebegini harus dicontohi semua pihak dan merupakan tuntutan di dalam Islam,” tambahnya.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat hadir menyempurnakan penyerahan sumbangan berupa wang tunai RM1,000 berserta cenderamata  dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Negeri Arau baru-baru ini.

Pada program yang sama Tuanku Raja Muda turut berkenan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM700 setiap seorang kepada 140 asnaf dari Kariah Kota Raja Arau 1 dan Kota Raja Arau 2 berjumlah RM98,000. – HARAKAHDAILY 28/12/2023

- Advertisement -