MB sambut lawatan PM ke lokasi banjir

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar (MB) Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud menyambut ketibaan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rangka lawatan ke lokasi banjir di Rantau Panjang hari ini.

- Advertisement -

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nazran Muhammad. Turut kelihatan mengiringi perdana menteri Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus.

Sebelum itu pesawat khas yang membawa perdana menteri mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa jam 12.08 tengah hari.

Menteri Besar berkata, sebelum berangkat ke lokasi bencana perdana menteri turut mendengar taklimat mengenai keadaan banjir di Kelantan disampaikan NADMA.

Berdasar jadual Anwar dijangka melawat Jambatan Lubok Jong dan pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang di Kampung Repek dan Sekolah Menengah Kebangsaan (A) Lati di Kampung Banggol Manok.

Tahun lepas perdana menteri mengumumkan peruntukan segera RM50 juta masing-masing untuk Kelantan dan Terengganu, sebagai bantuan awal untuk meringankan beban rakyat akibat bencana Monsun Timur Laut.

Menurutnya keputusan itu diambil selepas melihat banjir yang melanda kedua-dua negeri itu lebih ‘parah’ daripada biasa.

Bagaimanapun bekas Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob mendedahkan kerajaan negeri tidak menerima bantuan banjir yang diumumkan perdana menteri, sebaliknya ia disalur kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan. – HARAKAHDAILY 28/12/2023

- Advertisement -