Pelajar UMK rebut 30 kerusi MPP 2023/2024

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebanyak 30 kerusi akan dipertanding di ketiga-tiga kampus
Universiti Malaysia Kelantan bagi Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUMK) Sesi 2023/2024.

- Advertisement -

Ia dijangka akan berlangsung pada 11 Januari ini dan sesi penamaan calon pula ditetapkan 4 Januari 2024.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK Prof Dr Mohammad Ismail berkata, sebanyak 10 kerusi umum dan 20 kerusi fakulti dipertandingkan.

Katanya, agihan kerusi itu diputuskan Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus (JPRK) UMK yang dikendalikan sepenuhnya pelajar.

Kata beliau JPRK merupakan kelab persatuan yang berdaftar dengan Pejabat Hal Ehwal Pelajar UMK, bertujuan untuk menguruskan pemilihan MPP UMK.

“Ia bertujuan supaya pelajar sendiri mengurus proses pemilihan ini agar lebih telus dan bebas.

“Penjualan dokumen penamaan calon akan bermula pada 31 Disember sehingga 3 Januari ini dan dilaksanakan secara dalam talian.

“Calon-calon yang layak bertanding pada pilihan raya kampus itu diberi masa 4 hingga 10 Januari 2024 untuk tempoh berkempen,” katanya selepas menyaksikan pengumuman pembubaran MPPUMK Sesi 2022/2023 hari ini.

Oleh itu barisan kepimpinan MPPUMK Sesi 2022/2023 dibubarkan bagi membolehkan sesi pemilihan MPP baharu dilaksanakan.

Hari pengundian bagi pemilihan MPP pada 11 Januari 2024 dan pengumuman keputusan rasmi Pilihan Raya Kampus UMK akan dibuat pada hari sama jam 5.30 petang.

Dr Mohammad juga berkata, pemilihan MPPUMK itu mrupakan kali ke-6 selepas kali pertama dilaksanakan pada 2019 dan ia selari dengan peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

“Saya berharap proses sesi pemilihan MPPUMK menjadi penanda aras kepada keberkesanan amalan demokrasi dan pemerkasaan mahasiswa berdasarkan suara, kebebasan dan kehendak mereka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/12/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!