Malaysia bincang dengan Thailand perdalam Sungai Golok

- Advertisement -

PASIR MAS: Kerajaan Persekutuan meluluskan bantuan segera sebanyak RM50 juta kepada mangsa-mangsa banjir yang terkesan di Kelantan.

- Advertisement -

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan tersebut meringankan beban mangsa banjir.

“Saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan meluluskan bantuan segera kepada keluarga yang terlibat banjir di negeri ini.

“Mengenai bantuan tambahan ia akan diberi selepas kita mengenal pasti jumlah kerugian yang akan disahkan oleh pegawai yang akan dipertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau mangsa-mangsa terlibat banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Sekolah Menengah Agama Lati, di sini, hari ini.

Turut hadir sama Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassurudin Daud dan dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan akan menyegerakan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok fasa 2 bermula Januari tahun depan.

“Langkah segera itu untuk meredakan tekanan banjir dan kita juga akan menyegerakan projek berkenaan.

“Saya juga membuat perbincangan bersama kerajaan Thailand untuk menyegerakan pelaksanakan projek Sungai Golok melibatkan pelebaran dan pedalaman sungai yang boleh meredakan tekanan banjir di kedua-dua negara,” katanya.

Oleh itu Anwar berharap kerajaan negeri dapat mempercepatkan proses pengambilan tanah.

Kerajaan Pusat pada era lepas sudah meluluskan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok fasa 2, bagaimanapun dihentikan kerajaan Madani untuk mengkaji semula kos.

Malah pada Disember 2022 Anwar memberi jaminan kerajaan akan mempercepatkan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 1 dan 2 di Kelantan tanpa kos berlebihan.
Menurutnya projek PLSB akan dijalankan secara tender terhad untuk memastikan tidak ada kos berlebihan.
Pada 1 Ogos Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilapor berkata pelantikan kontraktor untuk projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 2 dan 3 dijangka dibuat pada November lepas.

PLSB Sungai Golok Fasa 2 dan merupakan projek jangka panjang pembinaan infrastruktur perlindungan banjir di kawasan lembangan Sungai Golok. – HARAKAHDAILY 28/12/2023

- Advertisement -