Ratcliffe digesa robohkan Old Trafford, bina stadium RM12b

Jim Ratcliffe (kanan) kini mempunyai kuasa sebagai pengemudi Manchester United yang di bawah kendalian pengurus, Erik ten Hag (kiri). (FOTO: Goal.com)
- Advertisement -

MANCHESTER, United Kingdom: Sir Jim Ratcliffe telah digesa untuk merobohkan stadium ikonik Old Trafford Manchester United dan membina stadium baharu bernilai £2 bilion (RM12 bilion).

Jutawan British yang telah mengambil alih 25 peratus kepentingan di United pada malam Krismas lalu itu, tertakluk kepada pengesahan daripada Liga Perdana, dan mempunyai banyak perkara dalam fikirannya ketika beliau bersedia untuk mengemudi operasi bola sepak pasukan yang turun di tempat kelapan dalam senarai pasukan Liga Perdana itu.

- Advertisement -

Beliau sebelum ini telah berjanji untuk melabur sebanyak £245 juta (RM1.4 bilion) dalam kelab tersohor itu, dan salah satu keputusan besar pertamanya ialah apa yang perlu dilakukan dengan stadium Old Trafford yang sudah usang itu, lapor Daily Mail.

Pada masa ini terdapat tiga pilihan yang mungkin berikutan pelan induk yang disusun oleh Populous, firma reka bentuk seni bina yang membantu menyiapkan pembinaan stadium Tottenham pada 2019, dan perunding pengurusan Legends International.

Ini adalah untuk menumpukan pada projek ubah suai kecil, mengembangkan perhentian selatan di atas landasan kereta api bersebelahan sambil membangunkan semula seluruh tanah, atau membina stadium baharu sepenuhnya.

Sementara Ketua eksekutif Populous, Chris Lee, percaya pilihan terakhir adalah yang terbaik untuk diambil oleh Ratcliffe.

“Saya rasa binaan baharu itu mungkin menjadi penyelesaian yang paling efektif dari segi kos,” ujarnya kepada The Telegraph.

“Ya, perbelanjaan awal jelas merupakan yang tertinggi daripada tiga pilihan yang mungkin, tetapi terdapat begitu banyak tanah yang tersedia untuk dibangunkan di sana. 

“Mereka (United) boleh meneruskan penggunaan tanah sedia ada semasa kerja pembinaan sedang dijalankan, bermakna tiada penurunan dalam hasil hari perlawanan.

“’Secara seni bina, dalam ruang yang tersedia anda boleh melakukan sesuatu yang sangat inovatif dan menarik. Tidak akan ada sekatan ruang,” tegasnya.

Penilaian Lee itu berikutan kajian strategik selama setahun di United selepas Glazers meletakkan kelab itu untuk dijual pada Nov lalu.

Menurut The Telegraph, Ratcliffe sedar bahawa membaiki keadaan stadium memerlukan pelaburan yang besar pada masa hadapan.

Old Trafford telah menjadi rumah United sejak 1910, tetapi ia telah ‘mencapai penghujung kehidupan semula jadi’, dan Lee menegaskan jika tidak bertindak akan membahayakan kelab itu menjadi  terus ketinggalan di belakang pesaing mereka.

Beliau merasakan pertimbangan serius harus diberikan untuk membina stadium baharu di tanah sekitar, yang akan menelan belanja anggaran £2bn (RM12 billion).

Desakan Lee bahawa membina stadium baharu itu tidak akan menjejaskan pendapatan hari perlawanan United mungkin meyakinkan Ratcliffe bahawa ini adalah penyelesaian terbaik.

United memperoleh £136 juta (RM801 juta) daripada pendapatan hari perlawanan pada 2022 hingga 2023 – bersamaan £4.1 juta (RM24 juta) bagi setiap perlawanan.  HARAKAHDAILY  26/12/2023

- Advertisement -