PAS ucap Selamat Hari Krismas

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Kristian dengan harapan sambutan tahun ini akan berjalan dengan lancar dalam suasana yang selamat dan harmoni.

- Advertisement -

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini sekali gus menjadi pembuka pintu kepada hari-hari muka yang lebih baik dan bermakna.

Katanya, kepelbagaian perayaan serta acara sambutan, sama ada berasaskan agama atau budaya, yang berjalan secara harmoni dan meriah dalam kalangan pelbagai kelompok rakyat di negara ini adalah manifestasi keunggulan sikap lunak, bertoleransi dan saling menghormati sesama kita yang kukuh terjalin sejak sekian lama.

Justeru, ujar beliau ia bukan sahaja perlu dipertahankan daripada kecenderungan-kecenderungan yang boleh melemahkan keunggulan sikap itu, malah perlu terus disuburkan atas kesedaran bahawa kepelbagaian yang wujud merupakan khazanah berharga masyarakat Malaysia yang menambah nilai kepada mutu kehidupan bersama kita.

“Sebagai sebuah parti Islam, PAS sentiasa meraikan dan terbuka kepada kepelbagaian itu, bukan sahaja sebagai ciri istimewa masyarakat kita, tetapi juga sebagai teras ajaran Islam itu sendiri yang menerima realitinya dalam ikatan keluarga besar kemanusiaan yang meliputi semua orang dan kelompok ras, budaya mahu pun agama secara sah dan terhormat.

“Selamat Hari Krismas dan selamat bercuti,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Penganut Kristian menyambut Krismas pada 25 Disember setiap tahun. – HARAKAHDAILY 24/12/2023

- Advertisement -