Ketuanya salah, tetapi ditegurnya kita yang betul

- Advertisement -

KALAU sudah tiada ulamak yang kata demikian, baik dari kerajaan mahupun kumpulan neutral dan apa lagi dari  pembangkang, kita sudah boleh kata ini sebagai pandangan ijmak. Tuntas, kisah al-Kahfi tiada dalam Bible.

Tetapi yang khilaf yang mereka perbesarkan iaitu adakah Kristiannya Ashabul Kahfi itu dari segi maknawi iaitu tetap beragama Nasrani di bawah petunjuk Nabi Isa R.A atau dari segi faham Kristian kontemporari yang mengamalkan konsep ketuhanan triniti itu. 

Maka jika dikatakan Kristian secara maknawi itu, jelaslah lebih baik disebut sebagai orang yang beriman kepada Allah kerana semua para Nabi dan Rasul adalah Muslim, membawa agama Hanif. Dan jika dimaksudkan kepada Kristian sekarang, hanya kerana mahu meraikan penganutnya yang hampir dengan perayaan Krismas ini, maka haramlah perkataan itu kerana menyamakan Ashabul Kahfi yang dimuliakan Allah itu dengan golongan yang mensyirikkan Allah. 

Khilaf yang diperdebatkan juga ialah berlakunya pada zaman Nabi mana? Selepas Nabi Isa R.A atau sebelum Baginda? Maknanya jika berlaku selepasnya ia berkemungkinan mereka benar pengikut ajaran agama Nasrani. Tetapi ia juga membawa persoalan lain, bagaimana diceritakan dalam Bible jika ia berlaku selepas Nabi Isa? Dan sebaliknya jika terjadi sebelum, jelaslah runtuh hancur dakwaan yang mengatakan mereka dari kalangan penganut Nasrani itu kerana dimaklumi kita semua yang hanya Nabi Isa pembawa agama Nasrani. 

Namun setelah lama berdebat, tiadapun dari kalangan penyokong beliau mahu memperdebatkan isu berkenan kisah ini, secara sahihnya, iaitu ia tiada di dalam Bible sebagaimana yang didakwa Perdana Menteri ke-10 (PMX). Berterus-terusan dialihkan isu itu, cuba membawa kepada isu khilaf. Tidak kurang juga ada yang menghina ulamak yang membangkang PMX. Maka ada dua penghinaan di sini iaitu kepada Islam kerana mendakwa kisah mulia ini ada di dalam Bible yang menyeleweng itu.

Dan keduanya ia juga menghina Bible pegangan Kristian sekarang kerana menipu dengan menyelitkan kisah yang tiadapun di dalam Bible. Tiadakah sekumpulan ulamak dalam kumpulan mereka yang boleh menegur penyelewengan kenyataan ini? Maka jelas lah mereka akan berterusan terbabas ke luar garis yang lurus kerana tiadanya sekumpulan manusia yang takutkan Allah menegur pimpinan mereka yang ternyata jauh menyimpang itu.

Apa lagi yang kita harapkan dengan sikap sebegini bila mana ulamak mereka pula menyuruh kita diam, tidak membicarakan isu ini, sedangkan dalam suruhan diam mereka itu, mereka sebaliknya pula telah mendedahkan kesalahan kenyataan menyeleweng dari pimpinan mereka yang tiada bukti itu, bukannya sanggahan kita yang benar berdasarkan dalil ini. Pelikkan?

MOHD NASIR ABDULLAH
24 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 24/12/2023 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -